Friday 17 June 2011

SABAHHAWK BERAKSI DI SANDAKAN?



Saudara Pengarang,

SAYA merupakan seorang peminat bola sepak tempatan berbangsa Tiong Hua yang berasal dari Sandakan dan saya ingin mengesa dan meminta jasa baik Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Datuk Peter Pang supaya mengatur satu perlawanan persahabatan bola sepak di antara pasukan Liga Super Sabah dengan pasukan tempatan di Sandakan.

Menurut jurulatih pasukan Sabah, Justin Ganai, beliau akan mengadakan satu atau dua perlawanan persahabatan antara pasukan Sabah dengan pasukan tempatan semasa Liga Super berhenti rehat sebelum berlangsung perlawanan terakhir menentang Kelantan pada 6 Julai (seperti yang dilaporkan di surat khabar tempatan kelmarin).

Saya dan juga peminat bolasepak lain di Sandakan, selama ini sebenarnya tidak berpeluang menonton aksi pemain pasukan Sabah beraksi kerana kesemua perlawanan liga berlangsung di Kota Kinabalu.

Ini adalah tidak adil bagi kami penduduk di Sandakan kerana adalah agak mustahil untuk kami berangkat ke Kota Kinabalu setiap kali pasukan Sabah beraksi di tempat sendiri.

Saya masih ingat lagi kali terakhir pasukan negeri Sabah beraksi di Sandakan ini ialah beberapa tahun yang lalu semasa pasukan Sabah berada di puncak kegemilangannya; ketika itu dibarisi oleh Scott Ollerenshaw, Seslija Milomir, Vaselin Kovasevic, Jelius Ating, Khairul Azman dan sebagainya.

Kami penduduk Sandakan sebenarnya berhak juga menonton pasukan Sabah beraksi kerana ia adalah 'Pasukan Sabah' dan bukan 'Pasukan Kota Kinabalu' atau 'Pasukan Likas' ataupun 'Pasukan Penampang'; justeru itu adalah tidak 'molek' sekiranya pasukan negeri Sabah hanya beraksi di kawasan Kota Kinabalu sahaja!

Saya berharap Datuk Peter Pang selaku seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan dan juga kerana beliau merupakan seorang Adun Karamunting di Sandakan ini akan menunaikan permintaan saya dan juga peminat bolasepak di Sandakan ini.

Saya juga ingin meminta Datuk Peter Pang segera menaiktaraf stadium utama bolasepak di Kompleks Sukan di Sibuga dengan membina tempat duduk yang lebih banyak, sekurang-kurangnya berkapasiti 20,000 penonton dan kemudahan lain yang sesuai dengan sebuah stadium.

Sekiranya Sandakan mempunyai sebuah stadium yang berkapasiti besar dan menepati standard yang ditetapkan oleh FIFA, maka pasukan negeri Sabah boleh beraksi di daerah Sandakan ini pada masa hadapan dalam pertandingan bola sepak tempatan.

Keadaan ini sekaligus akan meningkatkan ekonomi perhotelan daerah ini kerana pemain-pemain dan pegawai bolasepak akan menginap di daerah ini. Selain itu, industri pelancongan di daerah ini akan juga berkembang kerana ramai peminat luar daerah Sandakan akan datang ke daerah ini untuk menonton perlawanan bolasepak ini dan ini secara tidak langsung akan mempromosi tempat pelancongan di daerah ini kepada orang luar daerah ini.

Jika tidak silap saya, Datuk Peter Pang pernah berjanji akan menaiktaraf stadium di Sibuga, Sandakan ini semasa beliau mula mula menjawat jawatan Menteri Belia Dan Sukan ini!

Saya berharap Datuk Peter Pang mencontohi Tan Sri Liew Yun Fah kerana semasa Tan Sri Liew menjadi Menteri Belia Dan Sukan dahulu, beliau pernah membawa pasukan negeri Sabah beraksi di daerah Tawau dalam beberapa perlawanan Piala Malaysia dan sambutan orang Tawau pada masa itu adalah mengagumkan dan tidak keterlaluan boleh saya katakan ia lebih meriah dan 'awesome' daripada pasukan negeri Sabah beraksi di Stadium Likas!

Akhir sekali, saya berharap Datuk Peter Pang tidak akan menghampakan harapan saya kerana saya percaya peminat bolasepak di Sandakan ini juga mempunyai impian yang sama dengan saya iatu mempunyai peluang menonton aksi aksi pemain SabahHawk ini di halaman Sandakan.

Saya juga berharap Datuk Peter Pang lebih proaktif dan juga berperanan sebagai seorang 'salesman' (seperti yang saya sarankan dalam artikel saya di Sabahkini.net yang berjudul 'sampai bila janji terang bulan ditunaikan') dengan 'menjual' Sandakan kepada dunia luar agar bandar yang saya cintai ini akan lebih maju dan dikenali ramai.

Anda, Datuk Peter Pang boleh bila-bila sahaja menghubungi saya dan saya bersedia memberi sebarang idea kepada anda dalam membangunkan lagi daerah ini kerana saya sebagai anak tempatan Sandakan lebih memahami keperluan rakyat di daerah ini.

Salam Hormat,

STEVE.

8 comments:

  1. Satu cadangan yang baik. Harap pihak yang berwajib dapat menimbangkan cadangan ini.

    ReplyDelete
  2. Adakah kos yang ditanggung akan bertambah jika perlawanan diadakan di Sandakan? Mungkin prestasi Sabah akan meningkat bila bertukar-tukar lokasi perlawanan di Sabah kerana aura penyokong2 setia.

    ReplyDelete
  3. harap cadangan tersebut dipertimbangkan.

    ReplyDelete
  4. Setuju dengan cadangan ini. Baik juga kalau sebuah friendly match diadakan.

    ReplyDelete
  5. cadangan ini harus dipertimbangkan. apa pun, pelbagai aspek perlu dilihat juga seperti kos dan sebagainya.

    ReplyDelete
  6. selepas ini giliran warga Kudat, Ranau, Lahad Datu, Kunak dan Tawau pula memohon supaya perlawanan bola sepak diadakan didaerah mereka.. amacam??

    ReplyDelete
  7. bgs juga cadangan ini, jgn hnya tumpukan kepada satu tempat sahaja.

    ReplyDelete
  8. Betul juga. Harap perlawanan ini akan dapat dilakukan. Penyokong tempatan tidak sabar mahu melihat rentak permainan Sabahhawks.

    ReplyDelete