Friday, 17 June 2011

MISI ‘FACT FINDING’ PEMUDA SAPP BERJAYA



TERBENGKALAI…. Pusat GiatMara yang terbengkalai sejak tahun 2008. Rudy Sulaiman Mairi (tiga dari kiri).

Oleh: MEDIA SAPP TENOM

ROMBONGAN Pergerakan Pemuda SAPP Zon Pedalaman yang diketuai Rudy Sulaiman Mairi telah mengadakan sesi turun padang bagi memantau pelbagai dakwaan rakyat berhubung kepincangan pembangunan yang dirancang kerajaan UMNO-BN di Sabah, khususnya di kawasan Pedalaman yang merangkumi Nabawan, Sook, Tenom, Kemabong, Bingkor dan Tambunan.

Rombongan itu juga merupakan satu misi khas Pemuda SAPP sebagai ‘Fact Finding’ untuk mengumpul maklumat tersebut sebagai bukti bahawa dakwaan kepincangan pentadbiran UMNO-BN untuk mengurus pembangunan dan kebajikan rakyat di Sabah khususnya di Pedalaman bukan omongan kosong, tetapi sebaliknya berasas dan mempunyai bukti yang sahih.

“Kita tidak mahu sekadar bercakap kosong atau dituduh pula sebagai mendengar khabar angin tentang kepincangan pentadbiran UMNO-BN. Jadi, lebih baik kami turun padang dan melihatnya sendiri,” tegas Rudy.

“Kami juga tidak mahu mengikut jejak pemimpin UMNO yang tidak bercakap benar tentang masalah rakyat termasuklah media elektronik seperti TV1, TV2, TV3 atau Awani yang tidak bebas dan tidak berlaku adil dalam setiap laporannya. Di situlah rakyat selalu terkeliru kerana mereka menyembunyikan fakta yang sebenarnya,” tambahnya lagi.

BOHONG…..Janji kerajaan BN untuk menaiktaraf dan menurap Jalanraya Binsilon-Tumantalik sejak lebih 10 tahun lalu ternyata satu pembohongan kerana masih bertanah kuning (merah).

Rudy seterusnya berkata, Pemuda SAPP Pedalaman terus memantau sehingga ke akar umbi untuk melihat sendiri dakwaan rakyat selama ini yang mengkritik kerajaan UMNO-BN yang telah melakukan banyak pengabaian tanggung jawabnya kepada rakyat dari segi pembangunan mahupun kebajikan rakyat.

Kali ini rombongan tersebut melakukan lawatan turun padang ke daerah Tenom sebelum menjelajah ke daerah-daerah lain. Rombongan itu dapat melihat sendiri bagaimana kerajaan BN tidak mengendahkan rungutan rakyat di Kg Manining apabila bumbung atap Rumah Kebudayaan kampung itu diterbangkan angin kencang tahun lepas.

Mantan Ketua Kampong, Biou Parisit tanpa segan silu menceritakan bahawa beliau telah mengajukan masalah tersebut kepada pihak kerajaan melalui Pejabat Daerah Tenom beberapa kali, namun sehingga sekarang tidak dipedulikan; sedangkan Rumah Kebudayaan tersebut amat berguna bagi penduduk di situ untuk berkumpul dalam apa juga majlis, sama ada Pesta Kaamatan mahupun majlis-majlis perkahwinan.

SERAH…. Rudy kelihatan menyerahkan sumbangan kepada mantan KK Biou Parisit.

Selain itu, Rudy dan rombongan turut terkejut apabila masalah pembinaan Pusat GiatMara di lokasi bersebelahan SM Tenom terus terbengkalai. Walaupun beliau difahamkan bahawa projek pembinaan itu pernah diapungkan dengan suntikan jutaan ringgit untuk meneruskan projek tersebut, namun tetap tersungkur juga.

“Kita kesihan dan bersimpati dengan nasib malang pelajar-pelajar GiatMara yang sudah hampir 10 tahun menghuni pusat pembelajaran di Pusat Kebudayaan Murut dekat sini yang menghadapi serba kekurangan dari segi kelengkapan. Kenapa kerajaan UMNO-BN tergamak menderitakan mereka sampai begitu,” ujar Rudy.

Sepanjang masa pemantauan lebih 50 orang rakyat akar umbi ditemui, rata-rata mereka menyatakan rasa kurang senang dengan pentadbiran UMNO-BN yang disifatkan mereka terlalu banyak menabur janji, tetapi semuanya kosong.

Buktinya ialah janji menaiktaraf dan mengaspal jalanraya sejauh 5 kilometer antara Binsilon dan Tumantalik, pembinaan Pekan Kecil Melalap dan Pembangunan Koridor Sabah (SDC).

Suatu perkara yang amat menakjubkan Pemuda SAPP ialah kerja-kerja menaiktaraf landasan keretapi antara Tenom ke Beaufort masih belum siap sehingga sekarang, sedangkan projek tersebut telah menerima peruntukan yang banyak iaitu peruntukan pertama sejumlah RM300 juta dan yang kedua RM200 juta tetapi masih keadaan yang sama.

Rudy akan memuatkan semua senario yang diterima mereka semasa lawatan turun padang yang berupa laporan kepada pihak pucuk pimpinan SAPP Pusat untuk tindakan seterusnya termasuklah membentangkannya ke sidang DUN atau Parlimen oleh Wakil Rakyat SAPP.

9 comments:

  1. Apa sudah jadi dengan projek2 ini?

    ReplyDelete
  2. Masalah ini akan mempengaruhi undi rakyat pada PRU 13 nanti jika tiada tindakan susulan diambil.

    ReplyDelete
  3. sepatutnya setiap projek2 pembangunan tu dirancang dengan baik agar siap pada satu jangka masa tertentu. bukan seperti projek2 yang terbengkalai ni.

    ReplyDelete
  4. harap pemuda SAPP ni bukan hanya mencari projek2 terbengkalai BN tapi sebaliknya turut membantu pembangunan penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat.

    ReplyDelete
  5. Apapapun, rakyat pandai menilai siapa yang paling sesuai memimpin mereka.

    ReplyDelete
  6. biarkan rakyat sendiri yang membuat pilihan siapa yang terbaik untuk mereka.

    ReplyDelete
  7. "..UMNO-BN yang disifatkan mereka terlalu banyak menabur janji, tetapi semuanya kosong."

    maknanya BN tidak pernah tunaikan janji? kalau begitu sepatutnya Sabah hari ini sama dengan Sabah 20 tahun dahulu..

    ReplyDelete
  8. kerajaan harus tunaikn janji2 mereka, jgn biarkan ia menjadi bahan politik pembngkang.

    ReplyDelete