DILEMA... Bonney menerajui kepimpinan PBS Sekong dilanda krisis dalaman sesama sendiri.
Oleh : SHAIMON S JUMADI
KEPIMPINAN Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Sekong yang diterajui oleh Bonney Narseso P Juanico kini sedang dalam dilema bukan saja dengan parti-parti komponen BN lainnya, tetapi berdepan dengan krisis dalaman sesama mereka sendiri.
Beberapa orang Ahli Jawatankuasa PBS bahagian itu telah menemui Sabahkini.Net dan masing-masing menceritakan tentang kepincangan pentadbiran dan perbalahan di bahagian itu.
Kata mereka, ekoran daripada krisis yang melanda bahagian itu, sehingga timbulnya kepincangan dan keretakan sehingga bahagian yang mempunyai 22 cawangan itu berpecah dua; 11 cawangan berpihak kepada Bonney, manakala 11 cawangan lagi mengikut salah seorang AJK bahagian namanya sedang hangat disebut-sebutkan tetapi terpaksa dirahsiakan atas tujuan siasah dan bakal mengambil alih kedudukan Bonney.
Mereka mendakwa Ketua Bahagian PBS yang ada sekarang tidak mahu bekerjasama dengan komponen BN seperti UMNO Batu Sapi yang diterajui oleh Datuk Hj Samsudin Yahya dan juga Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin.
“Kami mahu Bonney selaku Ketua Bahagian haruslah sikap terbuka dan berbaik-baik dengan ADUN Sekong dan juga Ahli Parlimen Batu Sapi supaya perjuangan BN di kawasan ini bertambah mantap kuat dan kukuh bagi menghadapi musuh-musuh yang sentiasa mencari ruang,” jelas mereka lagi.
Kata mereka, Majlis Tertinggi PBS telahpun mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam pentadbiran bahagian itu dan hanya menunggu lampu hijau untuk menyingkir Ketua Bahagian yang ada sekarang.
“Sebagai ahli parti komponen BN, kita seharusnya mengambil sikap terbuka dan sedia menjalinkan kerjasama yang erat antara PBS dan UMNO dan juga ahli parlimen, barulah kita mendapat sedikit peruntukan, tapi kalau bersikap angkuh mahu tunjuk hidung belang, siapa mahu bantu kita?” kata mereka lagi.
Menurut mereka, ADUN Sekong dan Ahli Parlimen Batu Sapi kedua-duanya pemimpin yang baik dan senang dirunding, tetapi jika kita sendiri yang bongkak, sombong dan egois, maka tiada kawan dalam politik, sebaliknya pula mencipta ramai musuh.
“Selagi Bonney mempunyai sikap sedemikian, maka selagi itulah PBS Sekong tidak akan membawa sebarang kemajuan, malah berlakunya perpecahan di kalangan parti itu sendiri,” kata sumber itu lagi.
Justeru itu, kata mereka, PBS akan menjadi bahan ejekan oleh parti-parti pembangkang bila mengetahui ada berlakunya krisis dan perpecahaan di dalam bahagian itu.
Sabahkini.Net cuba menghubungi Bonney tetapi gagal, namun akan berusaha menemui Ketua Bahagian dalam masa terdekat untuk meminta penjelasan mengenai kedudukannya sebagai Ketua Bahagian PBS Sekong.
No comments:
Post a Comment