SERAH....Misery (gambar sisipan) menyifatkan Umno Tenom menipu Musa Aman melalui penyerahan berganda borang menyertai Umno oleh Lampag.
Oleh: MEDIA PKR TENOM
SANDIWARA Umno Tenom semakin menjadi-jadi apabila episod yang terbaru ketika mesyuarat tahunan Umno Tenom yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Jumaat lalu; sekali lagi Lampag Kurias diberi peranan melakonkan watak penting, kononnya seramai 250 ahli PKR Cabang Tenom menyertai Umno.
Sedangkan yang hadir pada ketika itu mengiringi Lampag dalam sesi penyerahan borang-borang kemasukan keahlian mereka ke dalam Umno hanya sekitar kira-kira 50 orang sahaja; itupun kebanyakannya dari kawasan Kemabong. Di mana ahli-ahli lain seramai lebih kurang 200 orang lagi?
Setiausaha Cabang PKR Tenom, Misery Raisimin berkata demikian ketika menghubungi Sabahkini.net petang Sabtu sebagai reaksi beliau terhadap kemasukan mantan Timbalan Ketua Cabang PKR Tenom, Lampag Kurias ke dalam Umno.
“Berapa kali Lampag mahu sertai Umno? Bukankah beliau telah serahkan borang kemasukan Umno kepada Jamawi beberapa bulan lalu? Nampaknya Datuk Musa Aman ditipu bulat-bulat oleh Umno Tenom. Tapi mungkin juga kemasukan pertama hanya olok-olok seperti mendakwa Tokek binatang mahal, tetapi sebenarnya tidak berharga?,” kata Misery yang jengkel dengan cara pemimpin Umno Tenom berpolitik.
TOKEK....Lampag disifatkan sebagai 'berjiwa Tokek'. Gambar ini membuktikan Lampag telah menyerahkan borang menyertai Umno kepada Jamawi beberapa bulan lalu.
Ketika Lampag menderhaka kepada PKR, kata Misery, beliau mendakwa 20 AJK Cabang PKR Tenom telah menyertai Umno dan Cabang PKR Tenom terpaksa bubar; tetapi sebaliknya PKR Cabang Tenom terus kukuh pada hari ini.
“Kalau mahu tipu sekalipun, biarlah Datuk Musa aman sampaikan Senarai Keahlian atau pengesahan penerima mereka sebagai Ahli UMNO dan bukannya baru menyertai Umno, melainkan Jamawi memperdayakan Lampag sebelum ini,” ujar Misery yang sedih kerana Lampag menjadi ‘kambing hitam’ untuk memperkukuhkan politik Jamawi dan Rubin Balang.
Mengikut rekod pejabat PKR Tenom, tegas Misery, setakat ini tidak terdapat ahli keluar PKR dan menyertai Umno selain Lampag dan rakan-rakannya tidak sampai sepuluh orang yang bertindak keluar beberapa bulan lalu; yang disambut kedatangan mereka oleh Exco Pergerakan Pemuda Umno Pusat, Jamawi Jaafar di sebuah hotel ternama di Kota Kinabalu.
Berhubung dakwaan Umno dan Lampag yang mengatakan bahawa PKR Cabang Tenom sudah lumpuh berikutan penghijrahan 250 orang itu ke dalam Umno adalah tidak betul dan dinafikan Misery dengan sekeras-kerasnya. Malahan PKR Tenom lebih senang di atas keberangkatan keluar mereka kerana selama ini memberi masalah kepada parti atau menjadi ‘liabiliti’ kepada PKR Tenom.
“Kita tidak merasa pening kepala lagi, kerana selagi mereka itu ada bersama kita, kita tidak boleh buat kerja. Kita asyik melayani kehendak mereka yang bukan-bukan. Syukurlah, bila mereka keluar terutamanya Lampag, lebih ramai yang masuk menyertai PKR termasuk seorang ahli politik veteran dan mantan Penolong Pengarah sebuah Jabatan Kerajaan persekutuan,” tegas Misery.
Mengenai dakwaan Lampag kononnya PKR tidak mempunyai masa depan menyebabkan beliau keluar PKR dan menyertai Umno Misery menjawab,
“Sekarang ini Lampag sudah berada dalam Umno. Dia kata PKR tiada masa depan dan tidak yakin dengan perjuangan PKR, tetapi dulu dia bersama kita dalam PKR dia berkata, Umno parti perkauman, Umno penyangak rakyat Sabah, Umno kerajaan kukubesi. Jadi, dengan kenyataan Lampag itu bolehkah kita percaya lagi dengan sandiwara basinya,” tanya Misery yang menasihati Musa Aman agar tidak terpedaya dengan kilauan kaca yang disangka berlian.
Misery menambah, Lampag keluar PKR kerana dia sendiri telah sedar bahawa dia tidak boleh buat kerja untuk melayani kehendak rakyat selain mengharapkan jentera pentadbiran PKR Cabang Tenom untuk membantunya.
“Jadi demi untuk menutup segala kelemahannya dan daripada tembelang pecah serta diketahui rakyat, khususnya ahli PKR, sebab itulah dia bertindak keluar daripada PKR dan menyertai Umno,” kata Misery yang meyakini sepeninggalan Lampag dan sekutunya daripada PKR, tidak sedikit pun melemahkan kekuatan dan jentera PKR menghadapi PRU13 yang mungkin diadakan dalam masa terdekat ini.
No comments:
Post a Comment