Friday, 17 June 2011

1 SEN UNTUK SIAPA?



Oleh : CHANG SHAK HUNG

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berhubung dengan penggunaan 1sen untuk meringankan beban rakyat pada bulan lalu, merupakan satu tindakan yang langsung tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada taraf hidup rakyat Malaysia.

Penggunaan 1 sen yang telah diberhentikan penggunaannya sejak tahun 2008, dengan pengenalan pengenapan ke atas harga, hanya membazirkan duit rakyat memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengeluarkan kembali duit syiling 1 sen yang telah diberhentikan penggunaannya dan sekarang hendak memperkenalkan kembali?

Adakah ini akan membantu rakyat yang tengah berhadapan dengan kenaikan harga barangan yang sangat tinggi seperti kenaikan harga tepung gandum yang menyebabkan kenaikan mendadak harga roti dan makanan berasaskan tepung gandum, kenaikan gula sebanyak 65 sen dalam masa tidak cukup setahun, kenaikan minyak petrol dan yang terbaru adalah kenaikan tarif elektrik.

Di manakah rasionalnya rakyat yang perlu menanggung ketidak cekapan kepemimpinan kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional? Sebagai contoh yang terbaru dan menjadi isu hangat yang diperkatakan sejak kebelakangan ini, perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta ke atas laman Tourism Malaysia di FACEBOOK untuk mempromosikan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan.

Umum mengetahui bahawa FACEBOOK merupakan sebuah laman sosial yang tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk ‘upload’ maklumat termasuklah gambar-gambar serta pengenalan untuk sesuatu maklumat atau perkara. Yang menjadi tanda Tanya adalah kerajaan membiarkan Kementerian Pelancongan yang diterajui oleh Ketua Wanita MCA, Datuk Dr Ng Yen Yen untuk membelanjakan RM1.8 juta duit rakyat bagi kegunaan yang langsung tidak masuk akal.

Melalui penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, James Dawos Mamit pada siding Dewan Rakyat, tender telah diberikan kepada sebuah syarikat, Impact Creations Sdn Bhd selama 3 tahun bermula 2011 hingga 2013. Antara kos yang diperlukan adalah seperti menyediakan ‘cover’ yang kreatif, menyediakan konsep dan idea, ‘design’, ‘flash programming dan ‘coding’, ‘debugging’,pengurusan kempen dan pemantauan serta penyediaan iklan secara ‘online’ dan pengambilan peminat (fans) untuk laman Tourism Malaysia di FACEBOOK.

Ia merangkumi pengenalan kepada Cuti-Cuti 1Malaysia, Citrawarna 1Malaysia, Karnival Jualan Mega 1Malaysia dan Karnival Jualan Akhir Tahun, Festival Pelancongan Sene Kontemporari 1Malaysia, Kempen 1Malaysia Bersih dan Fabulous Food 1Malaysia.

Adakah rakyat harus dipersalahkan sekiranya kita membangkitkan perkara sedemikian yang mana duit rakyat termasuklah duit poket juga datang dari kalangan orang politik Barisan Nasional, kakitangan kerajaan dan yang paling penting duit orang susah seperti fakir miskin dan miskin tegar yang begitu haus menunggu sesuap nasi untuk ahli keluarga dan anak-anak mereka daripada melayari Tourism Malaysia di FACEBOOK?

Untuk yang demikian, kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional tidak sepatutnya menyalahkan rakyat yang hendak perjuangkan hak mereka sebagai rakyat yang hidup di bumi Malaysia yang demokrasi daripada memberi satu janji yang kononnya pengenalan balik penggunaan 1 sen mampu untuk meringankan beban rakyat dan pada masa yang sama membazirkan duit rakyat!

No comments:

Post a Comment