JADI-JADIAN..... Rusa (Payau) jadi-jadian sering muncul dan hilang secara tiba-tiba menyeramkan pemburu ketika itu.
Oleh : SHAIMON S JUMADI
RUSA atau Payau (panggilan orang Sabah) memang sentiasa menjadi idaman para pemburu haiwan itu (habitat) walaupun kini telah dilindungi oleh kerajaan, khususnya Jabatan Hidupan Liar yang boleh menangkap dan mendakwa para pemburu yang jika sabit kesalahan boleh didenda dan dipenjara.
Berbalik kepada payau tadi ini, kisah ini bukannya dongeng tetapi kejadian yang benar-benar berlaku di Sandakan sekitar tahun 1940-an hingga 50-an kerana cerita payau ini heboh di beberapa kawasan kem pembalakan termasuk di ladang getah kepunyaan Harrisson and Crosfield; Ngui Ah Kui dan Man Woo Long; di kawasan Sebaut, Sandala (Batu 13 Jalan Labuk) dan di Longmanis (Lumanggis) Sandakan.
Tempat-tempat yang dimaksudkan itu merupakan sarang atau kubu persembunyian payau sama ada payau jelmaan ataupun payau sebenarnya kerana saban malam sekitar jam 11 malam, payau tersebut keluar untuk mencari makan pucuk muda daun kayu yang terdapat di kawasan ladang-ladang berkenaan.
Sekitar 1952, terdapat sekeluarga orang Inggeris iaitu pengurus ladang getah yang tinggal di sebuah bungalow dan tukang kebunnya, Kasmin Martopo (Jawa). Setiap hujung minggu, pengurus itu, Mr Bell Gilbert, suka memburu bersama mandornya bernama Kaspan Tukimin. Maklumlah sekitar tahun 1940-an hingga 1950-an, semua estet atau ladang getah, 60 peratus pekerjanya adalah orang Jawa yang dibawa masuk oleh Kerajaan Jepun.
Setiap kali memburu, mereka tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Mr Bell Gilbert gemar memakan otak payau. Pada suatu malam Jumaat keliwon, mereka mendapat seekor payau. Pada keesokan harinya, Mr Bell Gilbert menyuruh tukang kebunnya membelah kepala payau dengan kapak.
Sebelum Wak Kasmin membelah kepala payau itu, memang sudah menjadi tabiatnya suka membuka mulut payau. Alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati payau berkenaan mempunyai gigi serupa manusia dan tiga batang daripadanya bersalut emas. Oleh kerana terkejut, Wak Kasmin mencampakkan kepala payau tersebut lalu memanggil Mr Bell Gilbert dan memberitahu apa yang dilihatnya.
Sejak kejadian itu berlaku orang putih itu tidak lagi memburu payau, mungkin serik kerana sebelum ini mandornya, Wak Kaspan sudah memberi tahu bahawa terdapat payau jadi-jadian iaitu manusia siluman payau. Akibatnya, termuntah-muntahlah Mr Bell Gilbert kerana terbayang otak yang dimakannya selama ini mungkin otak manusia!
No comments:
Post a Comment