Saturday, 4 June 2011

MUSA IKRAR BERI GERAN NCR



SIMBOLIK…..Musa menekan punat sebagai simbolik perasmian mesyuarat pagi itu.

Oleh: MOHD ZAKI EMPIN

RAKYAT di beberapa kawasan perkampungan dalam Mukim Rundum dan Mukim Ulu Tomani yang bermasalah dengan tanah NCR dan Hutan Simpan tidak perlu merasa risau dan bimbang kerana dalam masa terdekat ini, mereka pasti akan memiliki tanah tanah tersebut; selepas telah dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan dan menjadi ‘State Land’ sebelum diserahkan kepada penduduk kampung yang berhak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman ketika menegaskan demikian bahawa kerajaan serius dalam janjinya yang pernah dibuat beliau sebelum ini, untuk mengeluarkan tanah-tanah adat (NCR), yang kemudiannya akan diberikan kepada rakyat dengan status geran komunal.

“Kita tidak berdolak dalih dalam membuat keputusan itu. Tetap dan pasti kita laksanakan. Bagaimanapun, tujuan kita memberikan Geran Komunal kerana kita bimbang ia disalah gunakan oleh pemiliknya. Kita tidak mahu tanah itu dijual kepada orang lain kerana tanah itu untuk anak cucu cicit kita,” tegas beliau.

Tambah Musa, bukan sahaja di Tenom atau Kemabong, tetapi juga di kawasan Nabawan dan Pensiangan; mana-mana tanah yang ada dalam kawasan hutan simpan akan keluarkan. Beliau telah memberi arahan supaya Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur melaksanakan tugas ini dengan sempurna.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata demikian di hadapan kira-kira lebih 2,000 para perwakilan dan pemerhati ketika merasmikan mesyuarat tahunan Umno kali ke17 Bahagian Tenom di Dewan Seri Antanom, dekat sini kelmarin (Jumaat).

Turut hadir di majlis itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor; Ahli Parlimen Tenom Datuk Raimie Unggi; mantan Menteri Kebudayan Belia dan Sukan Datuk Kadoh Agundong; Ketua Umno Pensiangan Datuk Ghani Yassin; Ketua Umno Kota Kinabalu Datuk Feisyal Diego; Pegawai Daerah Siriman MF Basir; Ketua Daerah OKK David Jani, para Pegawai Persekutuan dan Negeri serta para pemimpin masyarakat tempatan.

Jelasnya lagi, mengenai pembangunan, beliau kerap melakukan perbincangan dengan wakil-wakil rakyat dan juga Ketua Bahagian Umno di pedalaman seperti Tan Sri Kurup, Datuk Rubin Balang, Datuk Radin, Datuk Raimie, Datuk Ellron dan Datuk Ghani Yassin berhubung keperluan keperluan untuk membangunkan kawasan mereka.

Musa menambah kata, belia-belia juga turut tidak dilupakan kerana dalam bajet tahun 2011, sejumlah lebih RM 200 juta telah diperuntukkan khusus untuk menaja kegiatan- kegiatan mereka seperti pembinaan pusat-pusat sukan, gelanggang futsal dan sebagainya.

SERAH…. Mantan Naib Ketua Bahagian UPKO Tenom, Juarib turut menyerahkan borang kepada Musa untuk menyertai Umno.

Dalam pada itu, Datuk Musa turut menolak tanggapan umum sebelum ini yang mendakwa kononnya Umno Tenom sudah lemah kerana berlaku perbalahan sesama sendiri, adalah tidak benar dan karut sama sekali.

Sebaliknya tegas beliau, bukan sahaja Umno di sini kuat, malahan lebih ramai yang tampil menyertai parti itu kerana keyakinan masyarakat sekeliling terhadap Umno kepipimpinan Umno yang semakin diminati ramai..

Terdahulu, Ketua Umno Tenom, Datuk Rubin Balang memberitahu, bahawa kepimpinan Umno Tenom tetap menyokong penuh kewibawaan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman memimpin dan seterusnya membangunkan Sabah dengan pesatnya.

Malahan Rubin menyifatkan Musa sebagai arkitek yang berjaya membangunkan negeri ini dengan pesatnya serta dapat merealisasikan aspirasi rakyat yang mahukan negeri ini terus memacu pembangunan meluru ke hadapan berstatus negeri maju.

Selain itu, Rubin turut melabelkan Ketua Menteri itu sebagai ‘“Bapa Pembangunan’ sejajar dengan gelaran yang pernah diberikan jolokkan kepada Perdana Menteri ke-2, Allahyarham Tun Razak suatu ketika dahulu, kerana kepekaan dan kewibawaan tokoh itu membangunkan negara dengan jayanya.

Di akhir majlis itu, Datuk Seri Musa turut menerima 250 borang keahlian daripada bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tenom yang diketuai oleh mantan Timbalan Ketua Cabang Lampag Kurias, 62.

No comments:

Post a Comment