Monday 27 August 2012

1MALAYSIA PASTIKAN TIADA KELOMPOK TERABAI





KUDAT : Gagasan 1Malaysia cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ternyata memberi banyak faedah kepada rakyat terutama dalam memastikan tidak wujud kelompok masyarakat yang terabai, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kudat, Datin Aminah Ambrose.

Oleh itu, katanya, cubaan pembangkang untuk menonjolkan kelemahan dan cerita yang tidak tepat mengenai konsep itu selain pelbagai tuduhan terhadap kerajaan, hanya gimik politik semata-mata bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

“Tiada siapa pun yang boleh menafikan bahawa konsep 1Malaysia atau pendekatan yang kita guna selama ini sebenarnya berjaya memupuk semangat kerjasama dan perpaduan nasional. Sebaliknya pakatan pembangkang sebenarnya berada dalam keadaan rapuh, tetapi enggan mengakui kelemahan mereka,” katanya.

Aminah berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat perwakilan wanita Umno bahagian Kudat dan rumah terbuka Hari Raya pergerakan itu di Dewan Tun Mustapha Kudat, di sini semalam.

Beliau berkata gagasan 1Malaysia perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat di negeri ini supaya tidak terpesong dengan dakyah parti pembangkang yang hanya mahu memperalat konsep itu demi kepentingan politik.

Aminah berkata di sebalik gagasan itu terkandung hasrat pucuk pimpinan kerajaan BN untuk mengutamakan kepentingan rakyat di negara ini agar mereka kekal bersatu padu.

Dalam pada itu, wanita UMNO Kudat turut menyatakan sokongan padu kepadaKetua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang menerajui kepimpinan kerajaan negeri.

“Kita harus berterima kasih kepada beliau (Musa) atas kepimpinannya dalam mengemudi kerajaan negeri untuk memajukan Sabah.

“Rakyat Sabah perlu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Barisan Nasional. Tiada negara seperti Malaysia yang berjaya mewujudkan suasana aman dan harmoni kepada rakyatnya,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment