Monday, 27 August 2012

RUANG PERTEMUKAN PEMIMPIN PARTI




PEMIMPIN..........kelihatan Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Jahid Jahim  (kedua dari kiri), Datuk Monggoh Orow  (kelima dari kiri) dan Haji Ghulabdin (keempat dari kanan) bergambar dengan beberapa tetamu lain yang hadir.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

TUARAN : Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Pengerusi AMANAH Sulaman, Haji Ghulabdin Enjih  di Kampung Kota Tuaran dekat sini, baru-baru Ini telah membuktikan mampu menjadi satu ruang terbaik bagi mempertemukan pemimpin dan rakyat dari pelbagai parti dan kaum di sekitar negeri ini.

"Kehadiran tetamu di kalangan pemimpin tanpa mengira ideologi politik serta  kesudian rakyat daripada pelbagai kaum dan keturunan tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat, telah menghadiri majlis ini yang berpaksikan pada perjuangan sebuah badan NGO  untuk semua kaum. Kehadiran semua peringkat ini telah memeriahkan suasana majlis di perkampungan dengan semangat silaturrahim dan perasaan muhibbah di antara satu dengan yang lain"

"Sebagai sebuah badan NGO yang berkecuali seperti AMANAH, langkah mengadakan Majlis Rumah Terbuka seperti ini harus dicontohi, apa-apa juga perayaan di negeri ini. Sewajarnya diteruskan pada masa hadapan melalui sebuah badan NGO berkecuali, agar semua harapan penduduk yang mempunyai pelbagai idealogi politik dapat dipertemukan dalam  satu ruang yang lebih terbuka dan muhibbah," kata Haji Ghulabdin ketika ditemui di majlis yang julung-julung kali diadakan oleh AMANAH di negeri ini.



 
 

KENANGAN..........kelihatan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing (tengah) bergambar dengan pengunjung yang menghadiri majlis tersebut.


Majlis itu turut dihadiri oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah, Datuk Jahid Jahim yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat; Mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran; Setiausaha Agung Parti UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau (Mantan Ahli Parlimen Tuaran); Mantan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Monggoh Orow.

Turut hadir, Mantan Timbalan Menteri Buruh Malaysia, Datuk kalakau Untol (Mantan Ahli Parlimen Tuaran); Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kawasan Tuaran, Haji Ansari Abdullah; Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) bahagian Kepayan, Chong Ket Vui; Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Tuaran, Ali Shakbar Amin; Mantan Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Dahil Masdik.

Haji Ghulabdin melahirkan rasa terharu dan tidak menyangka jumlah yang  kehadiran pemimpin pelbagai parti serta pengunjung menghampiri seribu orang telah datang dari segenap perkampungnan termasuklah dari luar kawasan daerah ini.

Tambah Haji Ghulabdin lagi, kehadiran beberapa pemimpin kerajaan dari Komponen Barisan Nasional (BN) telah juga menandakan bahawa Perayaan Hari Raya Aidilfitri adalah merupakan saat dan ketika dimana segenap lapisan rakyat beremu serta berhimpun dengan mengenepikan ideologi politik masing-masing, Majlis rumah terbuka itu adalah medan tumpuan terhadap merapatkan kemesraan sesama penduduk dengan berintikan semangat persaudaraan yang jitu.

Beliau ternyata gembira dan amat teruja atas kehadiran begitu ramai pengunjung pelbagai lapisan, meskipun majlis itu diadakan di sebuah perkampungan namun mendapat sambutan di luar dugaan.


 



OKU......Kelihatan Haji Ghulabdin (kiri) dan Isteri Suzanne Bangih (kanan) bergambar dengan beberapa tetamu Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghadiri majlis tersebut. 

"Atas perasaan gembira yang tidak terhingga ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin politik yang sudi hadir, walaupun disedari mereka majlis ini bukan di sebuah tempat selesa seperti Dewan yang berhawa dingin, namun ruang kepada AMANAH Kawasan Sulaman menganjurkan majlis rumah terbuka ini akan menjadi contoh kepada penganjuran di masa hadapan," tegas haji Ghulabdin yang juga Timbalan Pengerusi Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN).

Pengunjung dan tetamu yang hadir telah dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti Pulut Panggang, Laksa Penang, Soto dan Cendol. Selain itu mereka juga telah dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu hiburan yang disampaikan oleh Jamal Sulai dan Dominic Ombilod Onul.

No comments:

Post a Comment