PEKAN : Kejayaan kerajaan
pimpinan Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini selama 55 tahun terbukti
membawa banyak perubahan dan pembangunan kepada rakyat sehingga mendapat
pengiktirafan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata kejayaan Malaysia membawa perubahan dan kejayaan kepada
rakyat ini turut diakui negara-negara Islam yang lain, sehingga mereka mahukan
Malaysia dijadikan contoh ikutan kepada negara Islam lain.
"Imej Malaysia di
kalangan negara-negara Islam begitu dikenali, kita diberi penghormatan oleh
negara-negara Islam dan ini menunjukkan bahawa apa yang kita perjuangkan dalam
negara kita di bawah kerajaan yang ada pada hari ini mendapat pengiktirafan dan
sanjungan yang tinggi di kalangan negara-negara Islam.
"Malah Presiden Mesir
yang baharu, Morsi (Mohammed Morsi) begitu minat sekali nak melawat Malaysia
dan beliau telah menyatakan kalau ada satu-satu negara yang boleh dijadikan
contoh dan model, tidak lain dan tidak bukan ialah negara Malaysia kita
ini," katanya.
Beliau berkata demikian di
hadapan kira-kira 100,000 tetamu pada Majlis Rumah Terbuka beliau dan isteri
Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
Najib berkata kenyataan itu
diluahkan Morsi ketika beliau menghadiri Persidangan Negara-negara Islam (OIC)
di Mekah baru-baru ini.
Sehubungan itu, Najib
menyeru agar semua rakyat negara ini bangkit dan menguatkan semangat serta
terus berjuang bagi membawa kejayaan yang lebih bermakna.
"Kita (juga) bukan nak
slogan, bukan nak janji, tapi nak sesuatu yang boleh dirasai oleh rakyat
seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang kita beri secara langsung...tak
termasuk bantuan-bantuan lain seperti subsidi minyak, beras, minyak masak,
tepung dan bantuan yang telah kita laksanakan," katanya.
Dalam pada itu, sempena
Syawal ini, beliau menyeru umat Islam, sebagai khalifah di muka bumi ini,
supaya terus mengukuhkan ikatan silaturahim, dan sikap saling hormat
menghormati antara satu sama lain.
"Jika puasa kita
merupakan ikatan kita kepada Allah maka dalam Syawal ini kita digalakkan
menguatkan ikatan silaturahim, rasa ukhuwah serta maaf-bermaafan sesama
manusia, maka baru dapat kita jalankan peranan kita sebagai khalifah,"
katanya.
Turut berangkat Tengku
Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku
Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri
Adnan Yaakob. (Bernama)
No comments:
Post a Comment