Sunday, 26 August 2012

BERSIH LANCAR TABUNG RM1 UNTUK PRU-13




Oleh : CLARA CHOOI

KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (Bersih) hari ini melancarkan kempen mengutip derma untuk kempen pra-pilihan raya untuk mengekalkan momentum selepas perhimpunan 28 April yang lalu.

Kempen itu mensasarkan RM250,000 tunai untuk perbelanjaan rawatan dan guaman selepas perhimpunan itu serta menyebarkan maklumat kepada orang awam tentang tuntutan Bersih untuk pilihan raya adil dan bersih.

“Kita tahu pilihan raya umum sudah semakin hampir, maka Bersih 2.0 memerlukan sokongan anda,” kata kumpulan tersebut dalam kenyataan medianya hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Bersih 2.0 melancarkan tabung kempen untuk setiap rakyat Malaysia menyokong kami dengan menderma kepada Bersih 2.0 ‘Lakukan Perubahan dengan RM1’ untuk pilihan raya yang adil dan bersih.”

Bersih 2.0, sebuah pergerakan dalam 82 badan bukan kerajaan, telah mengadakan perhimpunan kali ketiga menuntut pilihan raya adil dan bersih sejak 2007 dan di tengah ibukota pada 28 April lalu.

Protes “duduk bantah”, yang dikatakan aman, bagaimanapun berakhir dengan keganasan apabila beribu penunjuk perasaan bertempur dengan polis anti-rusuhan selepas halangan yang diletakkan di keliling Dataran Merdeka telah dilanggar.

Polis sebelum itu telah membuat halangan kawad besi dan besi untuk menghalang penunjuk perasaan dari memasuki Dataran Merdeka.

Sejak kejadian tersebut, terdapat banyak laporan mengatakan polis melakukan keganasan, sementara kerajaan cuba menangani tanggapan negatif dengan mendakwa pihak penganjur yang gagal mengawal keadaan.

Bersih 2.0 hari ini juga menerima dua fail saman ke atas anggotanya, termasuk Datuk Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah yang didakwa DBKL sebanyak RM122,000 dan ganti rugi sebanyak RM351,203.45.

Kempen derma RM1 itu, kata badan pemerhati pilihan raya itu berkata dapat membantu mereka dalam menangani bebanan akibat perbelanjaan guaman.

“Dua dakwaan yang tidak adil itu dilakukan untuk menggagalkan Bersih 2.0 untuk menuntut pilihan raya adil dan bersih,” menurut kenyataan medianya hari ini.

“Bersih 2.0 berharap agar rakyat Malaysia akan terus fokus dalam isu penting ini dengan menyokong usaha kami sedaya yang mereka mampu.”

Bersih 2.0 menambah walaupun ada ramai peguam menawarkan perkhidmatan guaman percuma kepada pemimpin dan mangsa keganasan pada 28 April lalu, terdapat kos seperti pengangkutan dan yuran pentadbiran yang perlu diselesaikan.

Mereka juga mahu menggunakan kempen seperti mencetak risalah, membuat video kartun, ceramah tentang kepentingan lapan tuntutan Bersih serta penubuhan “Bersih.TV”.

“Dengan sokongan anda, mesej utama kami ialah ‘Keluar Mengundi Lawan Penipuan’ akan tersebar luas dan mendesak kerajaan untuk mengubah sistem pilihan raya yang lebih adil dan bersih,” kata Bersih 2.0.

Derma untuk Bersih 2.0 RM1 ini boleh disalurkan ke akaun bank CIMB (12380000661-10-0) dengan nama akaun “Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor”.

“Kutipan derma akan dikemaskinikan di laman web kami dengan akaun akan dipermudahkan untuk audit,” kata Bersih 2.0.

No comments:

Post a Comment