Monday, 27 August 2012

KEPIMPINAN NAJIB TIDAK BOLEH DIPERTIKAIKAN LAGI




TAMPARULI : Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan arkitek Gagasan 1Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat, tidak lagi boleh dipertikaikan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan pandangan kedua-dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memuji kepimpinan Najib sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara hampir empat tahun lepas.

"Kita semua sedar beliau (Najib) sebagai Perdana Menteri begitu prihatin terhadap rakyat dan sejak beliau menerajui kerajaan Malaysia banyak projek dan program yang diperkenalkan yang semuanya menjurus untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Musa berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas pandangan Dr Mahathir dan Abdullah berhubung prestasi pentadbiran Najib, ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Tun Hamdan, di sini hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa kedudukan kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin kuat di bawah kepimpinan Najib manakala Abdullah pula memuji kepimpinan Perdana Menteri dan pelaksanaan pelbagai program transformasi bagi membawa Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih tinggi.

Musa berkata: "Sekarang ini kita mulai merasai nikmat dan hasilnya yang saya percaya dihargai oleh rakyat.

"Sebab itu, kita lihat di mana-mana perjumpaan atau perayaan, ramai orang datang dan ini menunjukkan sokongan kepada kerajaan BN," katanya.

Mengenai cadangan DAP Pulau Pinang untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti, Musa berkata ia hanya merupakan gimik politik semata-mata. (Bernama)

No comments:

Post a Comment