Thursday 9 August 2012

500 SERTAI ANUGERAH DESA SEJAHTERA 2012





PUTRAJAYA : Anugerah Desa Sejahtera 2012 yang menawarkan hadiah lebih RM5 juta menerima lebih 500 penyertaan dari seluruh negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata dari jumlah itu kira-kira 100 telah disenarai pendek untuk merebut hadiah pertama iaitu wang tunai RM25,000 dan hadiah projek sebanyak RM1 juta bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan Kampung Orang Asli.

"Pertandingan ini diadakan buat kali pertama dalam usaha kita menyemarakkan bulan kemerdekaan ini. Tujuannya adalah untuk memastikan kita dapat menanam semangat patrotisme dan kecintaan kepada negara di kalangan masyarakat pelbagai kaum yang ada di bandar atau di luar bandar dan ia diharap dapat menyatukan rakyat," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Mohd Shafie berkata kriteria penilaian pemenang termasuk kepelbagaian aktiviti dan program sambutan Hari Kemerdekaan, kemeriahan pengibaran Jalur Gemilang, kewujudan mercu tanda/papan tanda/poster/monumen kemerdekaan serta memiliki ciri-ciri kampung cemerlang termasuk kekuatan pemimpin, ekonomi, pendidikan dan kebersihan.

Selain hadiah pertama, tempat kedua akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan RM500,000 dalam bentuk hadiah projek, manakala tempat ketiga akan memenangi wang tunai berjumlah RM15,000 dan RM300,000 hadiah projek, bagi setiap kategori.

No comments:

Post a Comment