Monday, 20 August 2012

NAJIB NASIHAT PELAJAR BANTU KECAPAIAN NEGARA





TELEVIDEO......Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan sidang televideo serentak bersama perwakilan pelajar dan duta di lima buah negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Seri Perdana, 19 Ogos, 2012. Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais dan Timbalan Menteri Luar Senator Kohilan Pillai serta Datuk Richard Riot.

PUTRAJAYA, : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menasihati pelajar Malaysia di luar negara agar belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membantu negara mencapai kejayaan.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga harus menguar-uarkan keunikan dan kejayaan Malaysia di luar negara.

Sebagai duta kecil, katanya rakyat Malaysia khususnya pelajar dan pegawai yang bertugas di kedutaan harus menonjolkan kejayaan serta keunikan Malaysia di luar negara.

“Saya berharap semua ini meyakinkan kita agar belajar bersungguh-sungguh dan menguruskan diri dengan baik supaya kita dapat membantu kepada kejayaan Malaysia,” katanya semasa mengadakan sidang televideo secara serentak dengan perwakilan pelajar dan duta di lima negara di Seri Perdana di sini.

Sesi sidang televideo selama 45 minit itu diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, bersama perwakilan dari Jakarta (Indonesia), Canberra (Australia), London (United Kingdom), Beijing (China) dan Tokyo (Jepun).

Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais dan Timbalan Menteri Luar Senator Kohilan Pillai serta Datuk Richard Riot.

Najib berkata Malaysia semakin hari semakin mendapat pengiktirafan di pentas dunia sebagai sebuah negara yang berjaya, dan dalam suku kedua tahun ini, ekonomi negara mencapai pertumbuhan 5.4 peratus.

“Ini merupakan satu pencapaian yang menongkah arus gelombang ekonomi dunia yang tidak menentu. Ini juga membuktikan kalau rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada agenda transformasi negara kita, melalui cara masing-masing, kita boleh mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata dengan pencapaian yang berterusan, rakyat akan terus mendapat manfaat serta menjana hasil tambahan untuk membolehkan negara membiayai pelajar di luar negara.

“Kita harap dapat melahirkan lebih banyak jaguh serantau dan global di kalangan syarikat, di mana baru-baru ini, dua IPO listing iaitu Felda Global Ventures Holdings Bhd and IHH Healthcare Berhad telah mencapai satu kejayaan luar biasa dengan menongkah arus pasaran modal di dunia,” kata beliau.

Sehubungan itu, Najib berkata kejayaan ini dapat melahirkan rasa bangga di kalangan rakyat Malaysia, sama ada di dalam atau di luar negara, tentang keunikan tanah air tercinta yang mengamalkan tradisi rumah terbuka yang disambut meriah bersama pemimpin dan rakyat.

Najib berkata kemeriahan sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Seri Perdana hari ini menunjukkan Malaysia sebuah negara yang unik.

“Majlis Rumah Terbuka sebegini menunjukkan kita bukan sahaja membuka rumah tetapi membuka hati pintu di mana rakyat pelbagai kaum mengunjung pada Hari Raya,” katanya.

Sementara itu, melalui sidang televideo yang sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor menasihati pelajar Malaysia agar belajar dengan baik serta pulang untuk berkhidmat di Malaysia.

“Sebagai seorang ibu, saya meminta anak-anak agar menelefon ibu bapa dan memohon maaf dan ampun walaupun tidak dapat pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Ibu bapa yang terima panggilan akan berasa gembira kerana mereka tahu anak-anak mereka sayang dan hormat mereka,” pesan Rosmah.

Malah beliau juga meminta pelajar untuk sentiasa menceritakan kejayaan dan kebaikan negara Malaysia, serta memberi penjelasan sekiranya ada berita negatif yang didengar tentang Malaysia.

“Selamat belajar dan jangan lupa balik,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment