Oleh: RIDZAL ABDULLAH
LAHAD DATU : Pembantu
Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur menyeru rakyat agar
memelihara integriti yang telah terjalin melalui semangat patriotisme.
Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Lahad Datu itu berkata, semangat patriotisme yang tinggi akan membentuk
jalinan perpaduan dan seterusnya menjadi kekuatan dalaman dan mewujudkan
tunjang rumpun bangsa Malaysia yang utuh.
“Sekiranya kita menghayati
kepayahan dan cabaran lampau negara kita untuk mencapai kemerdekaan, pastinya
kita dapat kembali kepada semangat kekitaan yang mendalam...kita juga tidak
akan mudah bertelingkah sesama sendiri sehingga menggugat keamanan negara
tercinta ini hanya kerana ideologi dan agenda yang berbeza,” kata Nasrun
sempena pelancaran Program Kibar Jalur Gemilang bagi Sambutan Hari Kemerdekaan
Peringkat Daerah bagi tahun 2012 di perkarangan Pejabat Daerah bersama-sama
dengan ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan penjawat awam.
“Saya menyeru agar kita cari
titik persamaan diantara semua, jangan dibesarkan titik perbezaan, kerana
disitulah bermulanya perpaduan kita dan disitulah juga bermulanya perpecahan
kita, seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita yang dikasihi, Datuk
Seri Najib Tun Razak selama ini,” katanya yang juga Pengerusi Penyelaras
Barisan Nasional (BN) Parlimen Silam.
Menurutnya, rakyat harus
bersyukur dengan segala nikmat dan kemajuan yang telah dikecapi tidak hanya
melihat pada perkara negatif sedangkan lebih banyak pencapaian yang positif
telah dicapai melalui kerajaan yang diterajui oleh BN.
Beliau yang juga Ketua Umno
Bahagian Silam mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan serangan
minda oleh pihak pembangkang yang cuba merosakkan fikiran rakyat dengan cubaan
bertubi-tubi untuk menyemai semangat benci kepada kerajaan serta cubaan untuk
memecahbelahkan serta merosakkan keamanan, perpaduan dan institusi negara
bangsa yang telah lama terjalin.
“Cuba perhatikan...bila
kerajaan BN buat kebaikan, mereka (pembangkang) akan sedaya upaya memutarkan
fakta dengan mencipta provokasi agar kebaikan tersebut dilihat sebagai
berpura-pura, gula-gula dan sebagainya, tetapi apabila terdapat kekurangan
walau secebis kuman, mereka terus menghentam, kerja mereka mudah hanya
mengkritik sedangkan mereka tidak pernah ada pengalaman untuk memerintah,
Dalam majlis tersebut juga
Nasrun mengagihkan jalur gemilang kepada lebih 200 kenderaan di kawasan pekan Lahad Datu.
Hadir sama, Penolong Pegawai
Daerah, Juraimin Jadil; Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt. Shamsudin Mat;
Pemimpin Kemajuan Rakyat, Aljen Johnny; Pegawai Pembangunan Masyarakat, Amat
Paduka Kawoh; Ketua Bahagian MIC Silam, Nagaraju Applasamy dan Ketua Bahagian
PBS Lahad Datu, Mursid Rais.
No comments:
Post a Comment