PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib
Tun Razak berkata Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan RM287 juta
kepada Kumpulan Wang Simpanan Negeri (KWSN) pada tahun 2014 bagi membiayai caruman
Pemberian Kepada Negeri-negeri Yang Menghadapi Kekurangan Wang Dalam Akaun
Mengurus sebanyak RM30 juta.
Perdana Menteri berkata
pemberian itu juga berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan
kesejahteraan hidup RM257 juta.
Beliau, yang juga Menteri
Kewangan, berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Majlis Kewangan Negara di bilik mesyuarat utama Kementerian Kewangan di sini.
Katanya enam kertas
dibincangkan dalam mesyuarat kelmarin yang menyentuh soal kepentingan bersama
kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta perkara-perkara yang melibatkan
pengurusan kewangan kerajaan negeri dan isu-isu yang berkaitan.
Najib berkata Majlis
Kewangan Negara juga mengambil maklum Laporan Audit ke atas Kumpulan Wang
Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya
(MARRIS) yang dijalankan Kementerian Kewangan di semua Negeri, yang antara lain
mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diperbetul dan ditambah baik demi
keselamatan dan keselesaan penguna.
“Yang penting ialah
penekanan yang diberikan dalam mesyuarat ini supaya wang yang disediakan
kerajaan Pusat itu benar-benar digunakan sepenuhnya bagi tujuan penyelenggaraan
jalan,” katanya.
“Bagi 2011 jumlah pemberian
yang disalurkan ialah RM2,591 juta berbanding RM1,087.5 juta pada 2006, iaitu
peningkatan 138 peratus atau secara purata bertambah pada kadar 27.6 peratus
setahun,” katanya.
Oleh kerana ada kerajaan
negeri didapati tidak membelanjakan sepenuhnya peruntukan yang disediakan,
beliau berkata satu makmal akan diadakan Oktober ini bagi menggubal garis
panduan yang lebih komprehensif mengenai tata cara pengurusan serta penggunaan
pemberian penyelenggaraan negeri dan semua kerajaan negeri bersetuju untuk
menyertainya.
Menurutnya, ini kerana
rakyat mengharapkan jalan-jalan negeri diselenggara dengan baik, dan kerajaan
pusat dapat membantu melalui kaedah ini, namun yang penting sekali ialah untuk
memastikan bahawa dana itu digunakan bagi maksud ia diwujudkan.
Najib berkata mesyuarat juga
dimaklumkan bahawa kedudukan pinjaman kerajaan negeri kepada kerajaan pusat
menurun RM1.6 bilion atau 8.4 peratus, iaitu daripada RM19.1 bilion pada 2010
berbanding RM17.5 bilion pada 2011.
Beliau berkata jumlah
bayaran balik pinjaman oleh kerajaan negeri juga bertambah baik iaitu RM790.6
juta pada 2011, berbanding RM434.1 juta pada 2010.
“Sebahagian besar
pengurangan ini adalah disebabkan pengambilalihan pinjaman oleh Pengurusan Aset
Air Berhad (PAAB), yang mana sehingga kini PAAB telah mengambil alih pinjaman
projek bekalan air bagi lima negeri yang berjumlah RM3,496.3 juta,” katanya.
Pecahannya ialah Pulau
Pinang RM655.2 juta, Perlis (RM75.1 juta), Negeri Sembilan (RM1,128 juta),
Melaka (RM764.2 juta) dan Johor (RM873.7 juta).
Perdana Menteri seterusnya
berkata Majlis Mesyuarat pagi ini turut memberi taklimat mengenai perkembangan
ekonomi semasa, serta unjuran untuk tahun akan datang, di samping pembentangan
mengenai tinjauan ekonomi global.
Sementara itu, semasa
menjawab satu pertanyaan sekiranya soal defisit negara turut dibangkitkan dalam
mesyuarat, Najib mengiyakan perkara itu dan berkata “pengurangan defisit
kerajaan persekutuan berada pada landasan tetapi keseluruhan perangkaannya akan
dibentangkan di dalam Belanjawan.”
Merujuk kepada makmal yang
akan diadakan Oktober ini pula, Perdana Menteri berkata, ia juga akan mengenal
pasti soal mengapa sesetengah negeri tidak membelanjakan sepenuhnya peruntukan
yang disediakan mengikut tatacaranya, dan keputusan makmal itu akan diumumkan
kepada orang ramai tidak lama kemudian.
No comments:
Post a Comment