Friday, 17 August 2012

POLITIK BUKAN UNTUK CIPTA NAMA





SAMPAIKAN....Salleh menyampaikan sumbangan Ramadan kepada seorang penduduk warga emas di Kg Rancangan Klias Beaufort sambil diperhatikan Azizah.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT: Berkhidmat sebagai pemimpin dalam politik bukanlah tempat untuk mencipta nama melainkan untuk berkhidmat membangun negara dan membela rakyat.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said menegaskan bahawa barisan kepimpinan politik di semua peringkat mestilah berganding bahu bagi memastikan perjuangan politik dalam parti mencapai matlamatnya.

“Dalam politik bukan untuk mencipta nama. Yang kita utamakan ialah perjuangan parti untuk membangun negara dan membela rakyat. Justeru kita mesti terus bersatu padu untuk mewujudkan kerjasama yang baik.

“Sehebat mana pun seorang pemimpin, sekiranya tanpa kerjasama dari semua pemimpin dia tidak boleh membangun negara dan tidak akan dapat membantu rakyat. Hakikat ini perlu kita sedari dan saya juga menyeru kepada rakyat di negeri ini agar memberi sokongan kepada pemimpin yang di pilih oleh kerajaan BN dan bukan pemimpin yang berjalan secara sendirian,” katanya.

Beliau berkata demikain ketika berucap pada Program Nurhidayah di Masjid At-Taqwa Kg Rancangan Klias di sini, malam kelmarin.

Program anjuran bersama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Beaufort, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR), Pusat Khidmat Adun Klias, Pergerakan Wanita Umno Bahagian Beaufort itu, diisi dengan majlis Khatam Al-Quran, penyampaian sumbangan Ramadan, berbuka puasa dan solat sunat terawih.

Seramai 86 wanita termasuk kanak-kanak mengambil bahagian dalam majlis khatam al-Quran sementara itu 172 penduduk yang kurang bernasib baik menerima sumbangan yang disampaikan oleh Salleh.

Dua penduduk warga emas turut menerima cermin mata sumbangan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.

Azizah yang juga Pengerusi MPWK Parlimen Beaufort berkata objektif program itu adalah untuk menerapkan nilai-nilai kerohanian dalam keluarga bukan hanya bagi ahli keluarga tetapi dalam kelompok masyarakat yang lebih besar.

“Program ini lebih menjurus dalam aspek kerohanian dimana ahli keluarga dan masyarakat didedahkan dengan nilai keagamaan dan menggalakkan semangat bekerjasama dalam komuniti.

“Justeru saya berharap program ini dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam pembentukan diri yang seimbang dan dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia, mengamalkan gaya hidup sihat, bekerjasama dan saling hormat menghormati dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Adun Klias itu juga turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa bersyukur dengan nikmat pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

‘Bersyukurlah dan ingatlah segala jasa kerajaan BN selama ini dan berilah sokongan berterusan kepada kerajaan bagi memastikan banyak lagi pembangunan yang akan dapat dinikmati. Kerajaan BN akan pastikan semua janji ditepati agar rakyat terus mendapat perhatian dan pembelaan,” katanya.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah, Mohd Shaid Othman dan Jufri Etok; Ketua Penerangan Umno Bahgian Beaufort, Samin Ungki; Bendahari Umno Bahagian Beaufort, Zahari Zinin; Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Klias, Sadin Musih; Ketua Pergerakan Puteri Umno Beaufort, Saridah Mohd Dun dan Pengerusi Masjid Kg Rancangan Klias, Sani Anji.

No comments:

Post a Comment