Tuesday, 21 August 2012

PRESS DESAK PAS MINTA MAAF SECARA TERBUKA




Saudara Pengarang,

SAYA adalah penama yang disebut oleh Lahirul Latigu, Ketua Pemuda PAS Sabah di dalam blog milik beliau dan juga di Sabahkini.net pada 19 Ogos 2012. Selepas membaca blog milik Lahirul Latigu dan tulisan beliau di Sabahkini.net; suka saya memaklumkan bahawa saya dan persatuan yang saya wakili tidak akan berganjak dengan gesaan supaya Lahirul Latigu membuat kenyataan secara terbuka di media cetak negeri Sabah dan bukannya memberikan penjelasan di laman sosial dan media alternatif (Internet) semata-mata.

Ini penting kerana sebelum ini, Lahirul Latigu telah menggunakan saluran tersebut (Media Cetak) untuk 'MELONTARKAN' pendapat serta mendapatkan PUBLISITI bagi pihak dirinya dan parti yang beliau dukungi.

Dalam masa yang sama, kami turut menuntut agar Lahirul Latigu menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada etnik kami serta beberapa lagi etnik yang beliau sebutkan di akhbar Harian Ekspress (14 Ogos 2012) serta Daily Express (15 Ogos 2012) kerana kenyataan media tersebut adalah 'PREJUDIS' dan telah mempertikaikan HAK kami sebagai 'Anak Negeri Sabah'.

Saya juga tidak berminat mendengar penjelasan beliau mengenai dua perkara pokok yang diterangkan di dalam blog milik beliau dan ‘Sabahkini.net’ sebelum ini kerana dua perkara tersebut tidak melibatkan MARUAH etnik kami yang diperjuangkan melalui 'Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah' (PRESS).

Ini kerana, kami turut menyokong agar RCI di Sabah diperkasakan demi kebaikan negeri kita, Sabah dan negara kita, Malaysia. Suka juga saya mengingatkan bahawa PRESS hanya membuka keahliannya kepada warganegara Malaysia, sekaligus tidak bersekongkol dengan PATI. Ini secara langsung menerangkan dasar yang diamalkan oleh PRESS yang ditunjangi oleh etnik SULUK Tempatan Sabah semata-mata.
Dalam hal ini, apa yang lebih kami tekankan ialah perkara KETIGA yang disebutkan oleh Lahirul Latigu iaitu beliau mempertikaikan Seksyen 2(1c), ‘Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) Bab 64, Tahun 1952’ di mana beliau menggambarkan ‘Suluk, Kagayan, Simonol, Sibutu atau Ubian’ sebagai ‘orang-orang dari majoriti Pendatang Tanpa Izin (PTI)’ dan ‘tidak menggambarkan keadaan semasa di Sabah’.

Perkara ini adalah satu ‘penghinaan’ kepada etnik SULUK Tempatan serta etnik-etnik lain yang disebutkan oleh beliau kerana penyenaraian 16 etnik utama di Sabah sebagai ‘Anak Negeri’ dibuat selaras dengan kehendak dan semangat Perlembagaan Malaysia Perkara 161A (6) (b) serta ‘Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) Bab 64, Tahun 1952’.

Etnik SULUK Tempatan sungguhpun dianggap sinonim dengan etnik yang berasal dari Selatan Filipina, sebenarnya telah diiktiraf sebagai masyarakat pribumi Sabah sebelum pembentukan gagasan Malaysia lagi. Seperti juga etnik-etnik yang lain, sejak lahirnya negara kita Malaysia, etnik SULUK Tempatan di Sabah memperolehi kewarganegaraan sama ada melalui kuatkuasa undang-undang, melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan negara kita.

Jadi, mengapakah kewujudan etnik SULUK Tempatan perlu disamakan dengan PATI? Seharusnya beliau membezakan kategori antara SULUK Tempatan dengan SULUK PATI. Apakah beliau cuba menidakkan HAK etnik SULUK Tempatan sebagai ‘Anak Negeri Sabah?

Malah, kenyataan ini juga secara tidak langsung mempersendakan kreadibiliti serta jasa pemimpin negeri kita yang terdahulu termasuklah yang berjuang memerdekakan negeri kita. Sebagai generasi muda, kita tidak seharusnya melupakan sejarah perjuangan membebaskan negeri ini daripada penjajahan kerana para pejuang terdahulu terdiri daripada pelbagai etnik termasuklah daripada etnik Suluk itu sendiri.

Seperkara lagi, saya menasihatkan Lahirul Latigu untuk bertemu dengan mana-mana Ketua Anak Negeri yang berhampiran dengan beliau bagi mendapatkan senarai TERKINI 16 etnik utama yang dikategorikan sebagai 'Anak Negeri Sabah'. Janganlah hanya membuat Kenyataan Media tanpa dokumen sokongan yang tepat serta terkini kerana ianya boleh mengakibatkan implikasi yang buruk.

Suka saya memaklumkan di sini bahawa, berdasarkan ‘Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) Bab 64, Tahun 1952’ yang telah dipinda (yang diberikan oleh Pejabat Ketua Anak Negeri Tawau baru-baru ini), kini etnik KADAZANDUSUN atau DUSUN atau KADAZAN adalah etnik yang diletakkan sebagai etnik PERTAMA di dalam senarai tersebut dan ia sekaligus menjawab tohmahan yang kaum KADAZAN tidak disenaraikan sebagai ANAK NEGERI SABAH. Bagi saya, perkara ini berlaku kerana kedangkalan maklumat yang ada pada Lahirul Latigu.

Bagi etnik Kagayan, Simonol, Sibutu atau Ubian pula, mereka disenaraikan di bawah etnik BAJAU atau SAMA atau BAJAU/SAMA dan diletakkan sebagai etnik KEDUA di dalam susunan etnik ANAK NEGERI SABAH sementara bagi etnik SULUK pula, ia disenaraikan pada hirarki ke 13 sebelum TIDUNG (14), BULONGAN (15) dan BALABAK/MOLBOG (16). Pengiktirafan tersebut adalah suatu KEBANGGAAN kepada 16 etnik utama yang disenaraikan dan ianya adalah HAK yang tidak harus dipertikaikan.

Sekiranya Saudara Lahirul Latigu berkehendakkan kajian dilakukan terhadap ‘Ordinan Anak Negeri’ mengikut kehendak serta perkembangan semasa, pihak PRESS tidak mempunyai apa-apa halangan tetapi permintaan untuk membuat kajian tersebut tidak wajar dilakukan dengan MENGHENTAM atau MENJATUHKAN kedudukan etnik yang telah disenaraikan sebagai ANAK NEGERI SABAH.

Dalam hal ini, saya menyeru sekali lagi agar Lahirul Latigu menarik balik kenyataan beliau dan membuat permohonan maaf secara terbuka di media cetak negeri Sabah dalam kadar segera iaitu seminggu daripada tarikh Kenyataan Balas ini dikeluarkan.

Permohonan secara terbuka di Media Cetak tersebut perlulah ditujukan bukan hanya kepada etnik SULUK Tempatan Sabah yang 'terluka' dengan kenyataan beliau malah harus juga kepada etnik-etnik lain yang disebutkannya di dalam kenyataan media beliau sebelum ini. Sekiranya beliau enggan atau gagal melakukannya, pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap beliau.

Yang benar,

MOHD ZAKI HARRY SUSANTO,
Setiausaha, Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (Press), Tawau, Sabah.

7 comments:

  1. Jangan PAS terlalu yakin sehinggakan lupa diri sendiri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. PAS tidak perlu masuk campur urusan Sabah.

      Delete
  2. Perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, jangan ada unsur fitnah.

    ReplyDelete
  3. jangan ingat Lahirul terlibat aktif dengan politik, maka secara tidak langsung beliau memiliki lesen untuk membuat apa sahaja kenyataan yang berunsur provokasi..

    ReplyDelete
  4. dalam kenyataan balas Lahirul, tidak ada pun beliau memohon maaf.. malah menyalahkan akhbar yang menyiarkan kenyataan beliau.. kalau benar akhbar itu salah, kenapa Lahirul tidak saman?

    ReplyDelete
  5. kalaupun benci dengan BN, jangan la sampai tergamak buat kenyataan ikut emosi hingga tidak sedar ramai pihak yang terasa dengan kenyataan yang dibuat..

    ReplyDelete
  6. saya alu2kan supaya rakyat Sabah menolak PAS Sabah pada PRU nanti sebagaimana yang telah dilakukan oleh penduduk Sarawak ketika PRN lepas..

    ReplyDelete