Saturday, 11 August 2012

RCI DIHARAP BUKAN JANJI POLITIK




               
Oleh:  KREW SABAHKINI.NET 

TUARAN : Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan melawat Sabah mengenai Pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuh bagi meneliti isu pendatang tanpa izin di Negeri Sabah, diharap bukan merupakan janji politik kepada rakyat negeri ini, terutama pada menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke 13 yang tidak lama lagi.

Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka Malaysia (AMANAH) Sulaman, Haji Ghuabdin Enjih yang menyatakan demikian  berharap pengumuman penting yang ditunggu sekian lama itu diharap akan dapat menjalankan siasatan secepatnya serta melaporkan keputusan penuh siasatannya sebelum pilihanraya umum di adakan di negara ini.

"Rakyat di negeri ini telah menanti sekian lama dan harapan mereka semakin pudar tetapi menyimpan dendam kepada Kerajaan Persekutuan sehingga isu ini menjadi musuh nombor satu rakyat Sabah," kata Haji Ghulabdin sambil mengulas kenyataan Datuk Masidi Manjun berhubung isu ini dalam media tempatan.

Rakyat di negeri ini tidak akan memperkecilkan kredibiliti RCI sekiranya pengumuman yang akan dibuat oleh Datuk Seri Najib bukan merupakan retorik politik; tetapi satu kesungguhan, kerana suruhanjaya ini juga membuat ketetapan yang siasatan itu kelak tidak akan mengambil masa yang lama dan sebaiknya diselesaikan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Berdasarkan jawapan di Parlimen tahun lepas, penduduk Sabah yang berjumlah 651,304 pada tahun 1970 meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian. Bagaimanapun bagi tempoh dua dekad selepas itu, populasi Sabah meningkat secara ketara kepada 1.5 juta dan dicatat pada 2,468,246 orang menjelang tahun 2000.

Kata Ghulabdin, Masidi menjelaskan tidak ada jalan pintas dalam mendapatkan taraf kewarganegaran dan peruntukan undang-undang mesti dipatuhi sepenuhnya pada setiap masa.

"Saya percaya terma rujukan RCI akan meliputi cara menangani isu itu terutama berhubung dakwaan kewarganegaraan yang diragui. Jika seseorang itu layak sebagai rakyat, kita terima. Ini bukan suatu yang ganjil di Sabah," kata Masidi.

Ghulabdin juga meminta RCI menyiasat kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lepas yang mempertahankan peningkatan bilangan pendatang di Sabah dan golongan itu layak diterima sebagai warganegara kerana telah berdekad tinggal di Malaysia dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Benar amat menghairankan dan mengapa secara tiba-tiba Dr Mahathir muncul dengan menyuarakan sokongan kuatnya terhadap pemberian kerakyatan kepada bilangan besar warga asing, yang pada ketika Datuk Seri Najib dikhabarkan hendak datang ke Sabah untuk membuat lawatan resmi dan mengumumkan secara rasminya pembetukn RCI ke atas pendatang haram di negeri ini.

"Sehubungan dengan itu kami selaku rakyat asal di negeri ini mahukan agar sisatan RCI ini juga merujuk kepada peruntukan di bawah perjanjian 20 perkara yang menjadi dasar pembentukan Malaysia pada tahun 1963  yang menyebut; walaupun isu-isu dokumen pengenalan tertakluk di bawah Kerajaan Persukutuan, namun pihak-pihak berkuasa negeri mesti juga dirujuk apabila meluluskan kerakyatan kepada orang asing,

"Seharusnya sekian banyak kelulusan kerakyatan dan Kad Pengenalan Malaysia (KP) kepada orang asing haruslah bersandarkan pada sebab-sebab perlembagaan semata-mata dan bukanya pengeluaran besar-besaran yang boleh dianggap mempunyai niat berpolitik," kata Haji Ghulabdin dengan nada yang kesal.

Memanglah kebimbangan rakyat asal di Sabah terhadap peningkatan mendadak penduduk di negeri ini, kata Ghulabdin bukan sesuatu yang baharu, malahan inilah menjadi perjuangan utama penduduk tempatan yang jika tidak dapat diselesaikan pada masa terdekat oleh jawatankuasa RCI yang dibentuk ini.

Haji Ghulabdin yakin rakyat negeri ini akan memberi kepercayaan penuh terhadap kerajaan yang membentuk RCI ini untuk menyelesaikan secepatnya keresahan yang telah dihadapi rakyat tempatan di Sabah sejak sekian lama.

No comments:

Post a Comment