Friday, 10 August 2012

TINGGALKAN ANAK ELAK DISAMAN JPJ





DITINGGALKAN.....Suhaili meredakan tangisan seorang budak lelaki yang ditinggalkan oleh bapanya dalam kereta semasa operasi tu.

Oleh : YUSOP TEPPO


SANDAKAN: Hanya kerana takut disaman oleh Jalan Pengangkutan Jabatan (JPJ), seorang lelaki di sini melarikan diri dan meninggalkan anak lelakinya yang berusia 12 tahun di dalam kereta yang diletak di tepi jalan.

Insiden itu berlaku semasa Operasi Bersepadu Pra-Perayaan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Puspakom di Batu 1 1/2, Jalan Utara di sini pada malam Rabu.

Ketika diperiksa, kereta lama Toyota sedan yang ditinggalkan oleh lelaki terbabit didapati cukai jalan kereta berkenaan telah tamat tempoh sejak 2011.

Pegawai JP kemudian menghantar budak lelaki yang menangis itu ke rumahnya di Flat MPS Karamunting manakala kereta terbabit disita.

Kereta terbabit merupakan antara dua buah kereta yang telah disita semasa operasi dua jam yang bermula pada jam 8 malam

Menurut Pengarah JPJ Negeri, Mohd Suhaili Mohd Taufek, pihaknya telah mengeluarkan 97 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

“Saman berkenaan adalah terdiri 40 saman bagi cukai jalan tidak sah, 33 tiada lesen memandu yang sah, 17 saman bagi pemandu yang gagal memaparkan pelekat ‘P’ pada kenderaan mereka manakala tujuh saman kerana mempunyai nombor plat mewah dan menggunakan lampu berwarna.

“Selain itu, kami berjaya menahan lima orang yang disyaki positif dadah melalui ujian saringan awal air kencing,” katanya selepas operasi itu.

Sementara itu, Suhaili berkata JPJ telah menjalankan operasi pra-perayaan yang pertama di mana mereka melakukan penyamaran dan menaiki bas ekspres pada 27 Julai sehingga hari ini.

“Melalui taktik itu, kami terpaksa menaiki 71 bas ekspres dan mengeluarkan 19 saman bagi pelbagai kesalahan trafik seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu, gagal mematuhi lampu isyarat, menurunkan penumpang di kawasan larangan dan sebagainya,” katanya.

Operasi itu turut disertai oleh Ketua Penguatkuasa JPJ Negeri, Abdul Rahman Zakaria, Ketua JPJ (Cawangan Sandakan), Muhammad Edir Sanip, Pengurus Puspakom Sandakan, Suhatman Lambo dan Ketua AADK Sandakan, Nooraini Abdul Rashid.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhaili berkata anggota JPJ dibekalkan mesin pengimbas setiap kali melakukan sekatan jalan raya bagi memudahkan mereka membuat pemeriksaan ke atas pemandu yang mengemukakan MyKad sebagai ganti lesen memandu.

Di Sabah, katanya, penggunaan MyKad sebagai ganti lesen memandu sudah lama dilaksanakan bagi memudahkan pemandu tanpa perlu membawa semua dokumen peribadi, namun masih ada pengguna dikesan tidak faham mengenai dasar itu.

“Pengunaan MyKad sebagai ganti lesen memandu memang dibenarkan di negeri ini. Pemandu boleh menunjukkan MyKad apabila diminta anggota penguatkuasa tetapi mereka perlu mematuhi syarat iaitu semua maklumat peribadi termasuk lesen memandu sudah dimasukkan dalam MyKad.

“Biarpun penggunaan MyKad dibenarkan dalam sekatan jalan raya, pemandu masih perlu membawa lesen memandu mereka sebagai persediaan. Ini kerana, ada aduan kita terima pemandu sendiri tidak pasti sama ada sudah memasukkan data lesen memandu dalam MyKad atau belum berbuat demikian.

“Keadaan itu menyebabkan mereka masih berdepan masalah disaman anggota penguatkuasa ketika berada jalan raya,” katanya sambil menasihatkan pemandu agar melengkapkan butir peribadi termasuk lesen memandu dalam MyKad sebelum mengemukakannya kepada anggota penguatkuasa bagi mengelak berlaku kesulitan. (UB)

No comments:

Post a Comment