Oleh : SALHAN K AHMAD
KETUA Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata Umno kini memulakan kempen pelampau agama melalui laporan
Utusan Malaysia yang mendakwa berdosa sekiranya menyokong parti DAP.
Laporan berkenaan yang
memetik pandangan seorang guru pondok antara lainnya menyatakan bahawa DAP
"secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan
hukum hudud."
Namun, Anwar memberitahu
satu sidang media kelmarin, akhbar tersebut tidak melaporkan bahawa Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Mantan Perdana Menteri juga tidak menyokong
hukum hudud.
"Najib kata selagi jadi
PM beliau tak akan laksanakan hukum hudud," katanya sambil menambah, Datuk
Seri Mahathir Mohamad juga pernah menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan
bagi menyatakan penolakan kepada pelaksanaan hukum hudud.
"Kalau ini pandangan
mereka, kenapa DAP saja disebut tak boleh disokong sedangkan kenyataan Umno dan
MCA masuk kategori sama," katanya lagi.
Kit
Siang: Ini hasutan berapi-api!
Dalam sidang media sama, ketua
parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Utusan melalui laporan muka depannya hari
ini juga meneruskan hasutan tersebut dengan seruan untuk menolak parti
tersebut.
"Ini hasutan yang
berapi-api," katanya yang menjelaskan, DAP sejak dahulu lagi menghormati
peruntukan perlembagaan yang menetapkan Islam agama rasmi.
"Pendirian kita tidak
berubah. Kita negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi," kata Lim.
Jelasnya, kenyataan itu sama
dengan pendirian oleh tiga perdana menteri pertama Malaysia.
Namun, kata Lim, DAP
diserang begitu rupa oleh Utusan sehingga disifatkan sebagai 'kafir harbi'.
"Perdana menteri yang
kempen 1Malaysia tak patut benarkan Utusan teruskan kempen ini," katanya
lagi.
Sementara itu, dalam
perkembangan berkaitan, di Pulau Pinang, setiausaha politik kepada setiausaha
agung DAP Zairil Khir Johari turut membuat laporan polis berhubung laporan
Utusan itu.
No comments:
Post a Comment