RAMPAS.....Jauteh
(kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dari kereta yang digunakan oleh
kesemua suspek ketika ditahan.
KOTA KINABALU: Empat suspek
tempatan yang dipercayai terbabit dalam beberapa siri rompakan bersenjata
ditahan pada 17 Ogos lalu selepas polis berjaya mengesan mereka dalam kenderaan
sewa.
Ketua Polis Bandaraya, ACP
Jauteh Dikun, berkata kesemua suspek dipercayai terbabit dalam lima kes
rompakan bersenjata pada malam hari antara 13 hingga 15 Ogos di sekitar
bandaraya dan kedai yang beroperasi 24 jam adalah sasaran utama mereka.
Katanya, sepasukan pegawai
polis berjaya mengesan geng berkenaan yang berumur antara 18 hingga 26 tahun di
Tanjung Lipat pada kira-kira jam 1.40 pagi ketika berada dalam kereta Proton
Wira yang disewa.
“Laporan pertama dibuat oleh
pekerja kedai Pick n Pay, Lintas Plaza, selepas kedai berkenaan dirompak oleh
tiga lelaki bersenjatakan parang dan pisau.
“Empat kes yang sama
kemudian dilaporkan pada dua hari berikutnya membabitkan dua kedai 7 Eleven di
Kepayan Ridge dan Salut Centre, Sepanggar dan dua kedai Orange di Taman Chantek
dan University Apartmen, Jalan Sulaman,” katanya ketika sidang akhbar di ibu
pejabat polis kelmarin.
Menurut Jauteh, siasatan
menunjukkan geng berkenaan merompak sejumlah RM6,000 wang tunai dan rokok,
walau bagaimanapun pihak polis berjaya mendapatkan semula 15 kartun rokok yang
dicuri.
“Siasatan kami juga
menunjukan bahawa salah seorang daripada empat suspek berkenaan biasanya akan
tinggal di dalam kereta manakala tiga yang lainnya akan merompak kedai
menggunakan senjata.
“Hasil siasatan juga
mendapati suspek menyewa kereta dan digunakan ketika merompak,” katanya.
Jauteh berkata, salah
seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah iaitu salahguna dadah dan kes pecah
rumah manakala dua yang lainnya mempunyai rekod salahguna dadah. Kesemua suspek
disahkan positif dadah ketika ditahan.
Kes terbabit akan disiasat
di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga 20 tahun
dan boleh dikenakan sebatan.
No comments:
Post a Comment