PETALING JAYA : Presiden MCA
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini menyelar DAP yang bercadang meminda
perlembagaan negeri Pulau Pinang bagi menyekat perbuatan melompat parti, dengan
berkata cadangan itu hanya sandiwara politik DAP.
Beliau yang mempersoalkan
keikhlasan DAP tentang perkara itu, berkata DAP amat menyedari cadangan
berkenaan tidak akan mendapat kelulusan dewan undangan negeri dan bertentangan
dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak menyekat kebebasan politik mana-mana
individu.
Kata beliau sekiranya DAP
benar-benar komited untuk mencegah perbuatan melompat parti, mereka boleh
berbuat demikian dengan meminda perlembagaan parti.
"Meminda perlembagaan
parti adalah jalan paling mudah. Pindaan boleh dibuat dengan mudah dan katakan
saja parti itu tidak akan menerima mana-mana 'katak politik' dan jika mereka
(pelompat parti) melompat, mereka tidak akan ditawarkan sebarang kerusi.
"Senang saja dan habis
cerita! Kenapa perlu pergi ke dewan undangan negeri? Akhirnya, anda buat gamat,
menarik perhatian, tapi tidaklah semulia seperti yang cuba digambarkan
DAP," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan ganjaran
kewangan oleh The Star Publications (M) Berhad kepada atlet Olimpik kebangsaan
Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong Pamg, di sini.
Lee yang menang pingat perak
bagi acara badminton dan Pandelela yang meraih gangsa menerusi acara terjun
pada sukan Olimpik London baru-baru ini, diberi ganjaran RM100,000 seorang.
Dr Chua berkata demikian
bagi mengulas cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk
membentangkan undang-undang menghalang perbuatan melompat parti di dewan
undangan negeri.
Sambil menyebut beberapa
perbuatan melompat parti sejak 2008, termasuk dakwaan penasihat Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangkang akan membentuk
Kerajaan Persekutuan pada 16 Sept 2008 kerana ramai anggota parlimen Barisan
Nasional (BN) akan berpaling tadah, Dr Chua berkata selama ini DAP memang
menyokong perbuatan melompat parti.
Katanya DAP menerima dua
bekas pemimpin Umno ke pangkuannya awal tahun ini, malah menjanjikan kerusi
untuk ditandingi mereka pada pilihan raya umum akan datang.
"Dalam kes terbaru, dua
bekas pemimpin BN Sabah juga menyertai pembangkang, tetapi DAP hanya
membisu," katanya merujuk kepada Anggota Parlimen Beaufort yang juga
Pengerusi BN Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan Anggota Parlimen Tuaran Datuk
Seri Wilfred Bumburing yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun
Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), yang meninggalkan BN bulan lepas untuk
menyokong pembangkang.
"Sekiranya DAP ikhlas
menentang perbuatan melompat parti, mereka tidak sepatutnya menerima orang yang
melompat parti sejak mula lagi," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya
pada majlis itu, Dr Chua menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersatu dan
memberi sokongan kepada atlet negara dalam usaha mereka meraih kejayaan lebih
cemerlang untuk Malaysia.
"Jika ahli politik
tidak dapat menyatukan semua rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya anda berdua
telah membantu menyatupadukan semua rakyat Malaysia.
"Janganlah kita biarkan
politik memecah belahkan kita," katanya. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment