Monday, 20 August 2012

AOPS LETUP II, KASTAM RAMPAS MERCUN RM800,000





PENERANGAN....Janathan (tengah) ketika memberi penerangan kepada media. Turut kelihatan Hamzah (dua kanan) dan Peter (dua kiri) di Wisma Kastam kelmarin.

By : RUZAINI ZULKIFLI


KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus meningkatkan kerjasama dalam pelaksanaan Ops Letup II bagi membanteras aktiviti menjual dan bermain bunga api di negeri ini.

Pengarah Kastam negeri, Dr Janathan Kandok berkata peningkatan nilai rampasan dalam tempoh itu telah memberi impak positif kepada pengurangan aktiviti bermain bunga api dan mercun.

Jelasnya, dalam tempoh tiga minggu operasi itu berlangsung bermula 27 Julai hingga Selasa lalu, sebanyak 14 kes direkodkan yang mana 11 kes merupakan kes tangkapan dan tiga kes rampasan.

Menurutnya, menerusi Ops Letup yang dilaksanakan bersama pihak PDRM itu telah menyaksikan rampasan 31,800 paket bunga api dan mercun pelbagai jenama dengan jumlah nilai pasaran semasa dianggarkan berjumlah RM800,000.

“Ini secara jelas memperlihatkan keberkesanan operasi yang dilaksanakan dalam menangani penyeludupan serta aktiviti bermain bunga api dan mercun di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung kejayaan Ops Letup II di Wisma Kastam di sini kelmarin.

Turut hadir, Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superitendan Peter Umbuas dan Timbalan Pengarah Kastam negeri, Hamzah Sundang.

Janathan turut mendedahkan seramai 51 anggota yang terdiri daripada 29 anggota Kastam Sabah dan 22 anggota PDRM cawangan Kota Kinabalu serta Penampang telah menjadi tunjang kejayaan operasi berkenaan.

“Suspek-suspek yang ditangkap berumur lingkungan 22 hingga 58 tahun warganegara Malaysia, kecuali seorang warga Pakistan yang memiliki pasport antarabangsa.

“Dua suspek daripada yang ditangkap dalam Ops Letup II merupakan wanita. Kesemua tangkapan itu hanya melibatkan pembekal dan penjual bunga api serta mercun, tiada tangkapan melibatkan individu yang membakar mercun,” katanya.

Menurut Janathan, tangkapan dibuat di sekitar kawasan Likas, Inanam, termasuk daerah Papar, Kota Belud dan Tuaran.

“Walaupun operasi ini berakhir dua hari sebelum perayaan Aidilfitri bermula, namun aktiviti rondaan akan tetap diteruskan sehingga hari perayaan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba bermain bahan larangan ini kerana ia salah di sisi undang-undang negara,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment