KERAJAAN bersetuju
menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus
berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di
Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua
Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar
undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang,
Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan negeri-negeri berkenaan.
"Jawatankuasa khas ini
akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh
penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor
yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib dalam satu kenyataan
di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata jawatankuasa
khas itu akan membuat kajian berhubung mengenal pasti negeri-negeri yang layak
menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung
Malaysia.
"Jawatankuasa Khas itu
juga akan menentukan kaedah serta jumlah pembayaran bayaran tunai tersebut
kepada negeri-negeri berkenaan," katanya sambil menambah bahawa semenjak
enam bulan lepas, beberapa perbincangan dalaman dibuat berhubung isu bayaran
tunai daripada hasil petroleum dan sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk
menubuhkan jawatankuasa khas tersebut.
Najib berkata dengan
penubuhan jawatankuasa khas itu, kerajaan persekutuan berharap isu-isu yang
dibangkitkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di Pantai Timur Semenanjung akan
dapat diselesaikan secara adil, telus dan saksama.
Beliau berkata berdasarkan
perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas mengenai
pembayaran mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9
Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara
bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum
yang didapati dan diperoleh di Kelantan.
"Kerajaan Persekutuan
mengambil pendirian bahawa dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak
untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam
perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu
nautika dari pesisir pantai negeri.
"Pada masa ini, tiada
pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh
itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut
bayaran tunai daripada hasil petroleum," katanya.
Najib berkata kerajaan
persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kehendak rakyat dengan membuka
pintu rundingan tetapi pada waktu yang sama tidak boleh membelakangkan
perundangan negara.
Najib berkata walaupun
peruntukan perundangan ini adalah jelas, namun pada November 2009, beliau
mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai pemberian bayaran tunai kepada Kelantan
meskipun pengeluaran petroleum buat masa ini terletak di luar perairan negeri
tersebut.
"Keputusan ini dibuat
berdasarkan keperluan untuk terus membangunkan negeri Kelantan dan meningkatkan
kesejahteraan rakyatnya.
Peruntukan tersebut telah
disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan,"
katanya.
Beliau berkata sebahagian
besar peruntukan itu adalah untuk bantuan pelajar sekolah dan pelajar daripada
Kelantan yang memasuki tahun pertama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). (Bernama)
No comments:
Post a Comment