Oleh : NEWMOND TIBIN
KOTA KINABALU : Pengarah
Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr
Saleem Mustafa percaya ada kemungkinan kejadian paus terdampar di kawasan cetek
mempunyai kaitan dengan perubahan iklim.
Sambil menegaskan tentang
perlunya data lebih impirikal untuk membuat kesimpulan tentang perkara itu,
beliau berkata terdapat juga alasan kukuh bahawa pengasidan laut, secara
langsung dan tidak langsung, memberi kesan terhadap kehidupan mamalia itu.
"Perubahan oseanografi
juga memberi kesan besar terhadap mereka. Secara menyeluruh, perubahan iklim
menjadikan paus tertekan, mengancam daya tahan mereka, mendorong mereka membawa
diri ke kawasan laut yang asing bagi mereka dan menjejaskan kemampuan navigasi
mereka.
"Oleh itu, memang
menyedihkan kerana kita berkemungkinan akan menyaksikan lebih banyak kejadian
paus terdampar di kawasan cetek di seluruh dunia," katanya kepada Bernama
di sini, kelmarin.
Saleem berkata demikian bagi
mengulas kejadian seekor paus yang terdampar di kawasan cetek di pantai Hujung
Sungai dekat Kuala Penyu pada 2 Ogos dan mati pada malam Khamis lepas.
Kata beliau pelbagai usaha
dilakukan untuk menolong mamalia itu beralih ke kawasan lebih dalam, tetapi
sejak awal lagi, para penyelamat mendapati paus itu tidak memberi tindak balas
yang menunjukkan ia bersedia berenang ke kawasan lebih dalam.
"Perlakuan ini
membayangkan ia tidak mampu mengendalikan tubuhnya yang berukuran 16 meter
panjang dan seberat 10 tan itu. Sebenarnya, topografi kawasan berkenaan
memudahkan mamalia ini untuk bergerak ke kawasan lebih dalam.
"Apabila terdampar di
kawasan cetek, paus yang sihat dan kuat akan memberi tindak balas aktif untuk
pergi ke kawasan lebih dalam dengan segera memanfaatkan usaha yang dilakukan
penyelamat untuk menyelamatkannya," kata beliau.
Dr Saleem juga berkata pada
hari berkenaan tidak berlaku keadaan oseanografi luar biasa yang boleh
menyebabkan berlakunya tolakan ke arah pantai.
"Juga, tidak ada
laporan tentang arus merah beracun di kawasan itu pada hari berkenaan. Mungkin,
punca semula jadi, termasuk kelemahan, kesakitan dan kehilangan orientasi yang
berpunca daripada masalah psikologi yang menyebabkan paus itu terdampar di
Kuala Penyu dan menghembuskan nafas terakhirnya di situ.
"Jarang sekali paus
sebesar itu boleh hidup lebih lama daripada itu. Lapisan tebal lemak yang
menyeliputi paus itu juga menyebabkan berlaku pemanasan berlebihan dalam
keadaan di kawasan tropika ini dan semua ini menyebabkannya lebih cepat menemui
ajal," kata beliau.
Beliau berkata paus itu
sentiasa disiram dengan air untuk menyejukkan dan membasahkan tubuhnya, tetapi
apabila ajal semakin dekat, fungsi tubuhnya mula terhenti dan segala usaha yang
dilakukan tidak banyak membantunya untuk terus hidup.
"Terdapat kesan calar
dan luka di seluruh tubuhnya, tapi ini perkara biasa apabila seseekor haiwan
akuatik besar hanyut di kawasan yang mempunyai permukaan kasar. Tidak terdapat
tanda kecederaan serius luaran lain pada tubuhnya.
"Saintis kami (UMS) Dr
Julian Ransangan, Dr John Madin dan M. Ali serta petugas sokongan sedang
meneruskan penyelidikan mereka mengenai paus jenis ini. Mereka akan berkongsi
lebih banyak maklumat daripada penyelidikan ini dari semasa ke semasa,"
katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment