Sunday, 5 August 2012

UMS DAN SAWIT KINABALU JALIN KERJASAMA





KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sawit Kinabalu hari Sabtu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan mutu penyelidikan kelapa sawit, khususnya di Sabah.

Menerusi perjanjian itu, UMS akan menubuhkan Unit Penyelidikan Minyak Sawit Lestari (SPOR) bersama Industri Sawit Malaysia bagi menerajui penyelidikan berasaskan sifat kelestarian.

UMS diwakili Naib Canselornya Prof Dr Mohd Harun Abdullah manakala Sawit Kinabalu diwakili Pengarah Urusannya Othman Walat dengan disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Dalam ucapannya, Musa yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, menyambut baik usaha itu yang disifatkan berupaya mencetuskan gelombang baru kemajuan dan kemampanan industri sawit di negeri ini.

"Industri sawit pada hari ini merupakan satu daripada tonggak penggerak utama ekonomi negara ini sejajar dengan Sabah sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 1.4 juta hektar," katanya.

Justeru, beliau berharap hasil penyelidikan daripada jalinan kerjasama itu dapat mengeluarkan pelbagai produk sawit untuk dikomersilkan.

Sementara itu, Dr Mohd Harun berkata SPOR akan menekankan prinsip penyelidikan secara lestari dan komprehensif, bermula daripada peringkat penanaman sehingga kepada isu alam sekitar.

"SPOR juga akan menggabungkan pakar-pakar multi displin dari UMS melalui usaha bersepadu untuk menjalankan penyelidikan mesra alam.

"Unit itu akan turut menggunakan sumber-sumber kepelbagaian biodiversiti di kepulauan Borneo untuk membantu menyelesaikan masalah seperti kawalan penyakit ganoderma," katanya.

Pada majlis itu, Sawit Kinabalu turut menyampaikan replika cek bernilai RM6.68 juta sebagai bayaran dividen kepada pekebun kecil di Bagahak, Lahad Datu dan RM215,000 kepada pekebun kecil di Silabukan, Lahad Datu. (Bernama)

No comments:

Post a Comment