Wednesday, 15 August 2012

HENTIKAN PEMBUNUHAN DI ROHINGYA!





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar segera mengambil tindakan terhadap kekejaman ke atas umat Islam Rohingya yang berlaku di Myanmar.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat, PR menuntut Malaysia wajib bertindak pantas kerana menurut mereka, “bukan sahaja  Najib telah menobatkan Malaysia sebagai mempunyai ‘Demokrasi terbaik’ di dunia malah sebuah negara contoh dengan Umno sebagai parti pemerintah yang terbesar di dunia untuk membuktikan kenyataan beliau itu benar dan tidak palsu.”

“Masa untuk menunjukkan kepimpinan moral sudah tiba,” jelas kenyataan tersebut.

Seketariat yang turut dianggotai oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong; dan Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menegaskan Najib juga perlu mengambil tindakan menggesa Myanmar dan Bangladesh memainkan peranan dalam membantu golongan minoriti tersebut.

“Kami juga menuntut Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) di mana beliau sedang menyertai perjumpaan di Mekah untuk mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Perkara 35 untuk campur tangan dengan serta-merta.

“Kami menggesa Najib untuk mengarahkan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa yang mengatakan mana-mana kerajaan yang gagal melindungi kumpulan minoriti dan menyemarakkan semangat perkauman serta pembunuhan kaum di Myanmar dan seluruh dunia,” jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, mereka turut menuntut ASEAN mengarahkan kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan kaum ini serta-merta.

“Memahami bahawa hak asasi manusia adalah batu asas kepada masyarakat antarabangsa yang adil, saksama dan bertamadun dan memegang teguh kepada dasar-dasar hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.”

Jelas seketariat itu lagi, PR turut mengecam pembunuhan kaum Rohingya di Myanmar yang berlaku pada masa ini dan menuntut ia dihentikan serta-merta.

Malah, mereka juga segera menuntut masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan jangan mengguna alasan diplomatik untuk tidak bertindak kerana, dari “ pengajaran  pembunuhan kaum di Bosnia dan Rwanda jelas menunjukkan bahawa hanya tindakan pantas masyarakat antarabangsa seawal mungkin akan mendatangkan hasil.”

No comments:

Post a Comment