KUALA LUMPUR : Unit
Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) akan
memperluaskan sistem ‘MyIdentity’ ke semua agensi awal tahun depan susulan
kejayaan projek perintis di empat agensi.
Ketua Pengarah Mampu, Datuk
Mohamad Zabidi Zainal berkata sejak diperkenalkan pada Disember lepas, 'MyIdentity'
memudahkan orang ramai yang tidak perlu memberi maklumat peribadi berulang kali
ketika berurusan dengan agensi kerajaan.
“Menerusi MyIdentity mereka
hanya perlu memberi MyKad dan segala maklumat peribadi mereka akan diperolehi.
“Selain itu, mereka juga
boleh menyemak dan mengemas kini maklumat peribadi pada bila-bila masa di salah
satu agensi kerajaan yang terlibat dengan sistem MyIdentity, bagi memastikan
kesahihan maklumat tentang diri mereka,” katanya kepada Bernama selepas rakaman
program Helo Malaysia terbitan Bernama TV, di Wisma Bernama, di sini.
Projek perintis MyIdentity
dilaksana di Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan
Pengangkutan Jalan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Rakaman itu akan disiarkan
Bernama TV menerusi Astro saluran 502 pada 27 Ogos ini pukul 10 malam.
Mengulas mengenai pencapaian
Malaysia melalui agenda transformasi negara yang dijalankan kerajaan, Mohamad
Zabidi berkata negara telah mencapai kedudukan baik dari segi daya saing
apabila berada pada kedudukan ke-21 dunia.
“Negara dah capai satu tahap
yang cukup baik apabila berada di tangga 21 pada kedudukan dunia pada tahun
2012, tapi kita perlu berusaha lebih bagi memastikan kedudukan Malaysia terus
meningkat dan berada pada kedudukan nombor 10 di dunia seperti yang dihasratkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita dah berada di laluan
yang betul dan momentum perlu sentiasa dijana bagi merealisasikan impian
mencapai negara maju...justeru, penjawat awam perlu memainkan peranan mereka
dengan sebaik mungkin dalam menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment