KUALA TERENGGANU : Tema Hari
Kebangsaan tahun ini 'Janji Ditepati' sama sekali tidak merupakan retorik
politik sebaliknya ia berlandaskan kepada tuntutan agama.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata tema itu sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN)
berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap
rakyat keseluruhannya.
"Tema ini berpaksikan
kepada rukun agama. Kita (BN) berjuang untuk tepati janji kepada rakyat. Kita
akan tepati janji kita untuk beri kepercayaan pada rakyat. Kita mahu
membuktikan negara kita adalah negara Islam contoh," katanya.
Perdana Menteri berkata
demikian ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat di
Kampung Padang Nenas di sini, hari Khamis yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.
Najib berkata dalam Islam
jika setiap janji itu tidak dikotakan ia boleh dianggap sebagai munafik.
"Jadi kita sebagai
sebuah kerajaan kita janji akan tepati janji itu. Kita bersedia ditolak rakyat
kalau janji itu tidak kita tunaikan...kita sesama manusia pun perlu tunaikan
janji, nak berniaga pun mahu berurusan dengan yang menepati janji dan kerajaan
pun kita mahukan kerajaan yang menepati janji".
Beliau berkata disebabkan
itu tidak perlu mana-mana pihak untuk takut kepada tema Hari Kebangsaan itu.
Dalam pada itu, Perdana
Menteri berkata rakyat perlu bersyukur dengan nikmat berada dalam sebuah negara
yang makmur seperti Malaysia.
"Dalam bulan puasa ini
kita dapat menjalani ibadah dengan sempurna tidak seperti di negara-negara
lain.
"BN telah berjaya
membela rakyat melalui pelbagai program dan berharap rakyat akan terus
memberikan sokongan kepada BN," katanya.
Najib kemudiannya
menyampaikan sumbangan ihsan Ramadan kepada anak yatim, orang kurang upaya,
warga emas dan ibu tunggal.
Beliau selepas itu
menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Padang Nenas dan menunaikan solat
Isyak dan solat sunat Tarawih di Masjid Wakaf Tembesu sebelum berlepas pulang
ke ibu negara. (Bernama)
No comments:
Post a Comment