Monday 13 August 2012

JUDI HARAM DI LABUAN KRITIKAL?





Saudara Pengarang,

KAMI tujukan surat terbuka ini kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib; Ketua Polis Labuan Supt. Saiman Kasran; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah D7 Bukit Aman; Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Labuan; CEO Perbadanan Labuan dan Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Yussuf Mahal untuk mengambil tindakan segera menutup semua siber judi haram yang dibuka di Labuan.

Sejak akhir-akhir ini, sindiket judi haram langsung tidak gentar serbuan oleh pihak berkuasa tempatan dan juga Bukit Aman.

Dua minggu lepas lebih kurang 20 pegawai dan anggota polis dari Bukit Aman turun ke Labuan dan menyerbu 7 premis judi haram dan semua komputer dirampas dan dibawa ke IPD Labuan untuk siasatan.

Tetapi agak menghairankan kerana premis yang diserbu beroperasi semula tidak sampai dua minggu kemudian. Siapa sebenarnya yang bersubahat dengan sindiket judi haram ini sehingga mereka tidak takut langsung dengan pihak polis dari IPK dan Bukit Aman.

Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan untuk membanteras kegiatan seperti Mesin Judi Haram, Dadah, Ah Long (Loan Shark) dan Pelacuran berlesen di Labuan akan menyebabkan masalah penyakit masyarakat (Social Ill) dan juga masyarakat akan menuding jari kepada kerajaan BN.

Kami menggesa SPRM agar mengadakan satu serbuan mengejut bersama Ikatan Relawan Rakyat pada masa terdekat ini. Kami rasa Pegawai SPRM atau pegawai penguatkuasa tempatan memang tahu lokasi premis mesin judi haram yang terletak di tengah bandar Labuan dan semuanya beroperasi di tingkat satu.



 


Penduduk Labuan agak terkilan kerana terdapat 17 premis mesin judi haram dan sebuah pusat hiburan mempunyai 50 pelacur berlesen di sebuah pulau sekecil ini. Jika pulau sekecil ini tidak dapat dikawal, macam mana mahu menjaga daerah yang lebih besar di Malaysia.

Untuk makluman, mesin judi haram di Labuan dibuka oleh tiga kumpulan sindiket sahaja. Kumpulan A dijalankan oleh seorang Cina dari Semenanjung bernama Ah Kent dan rakan kongsi dia adalah seorang Melayu dan anak kepada seorang tokoh politik di Labuan.

Manakala Kumpulan B dijalankan oleh seorang Cina Sarawak bernama Ah Huat. Sindiket Kumpulan Ketiga dari KL telah menyewa 5 buah kedai di tingkat satu dan siap pengubahsuaian untuk dibuka dan diurus oleh seorang Cina Semenanjung bernama Ma Lam. 


 


Jika kami sebagai orang awam boleh tahu dan mengapa pihak berkuasa tidak tahu langsung? Adakah pihak berkuasa tempatan sampai ke ibu pejabat menerima habuan bulanan dari sindiket? Kalau tidak mengapa sindiket langsung tidak takut diserbu.

Kami akan cari maklumat siapa pegawai yang bersekongkol dan menerima habuan bulanan dari sindiket dan juga siapa tauke sindiket Mesin judi haram sebenarnya?

Kami memohon jasa baik Ketua Penerangan AMK negeri Sabah, Citra Bin Masadi membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kepayan bagi pihak warga labuan mengenai Mesin Judi Haram dan pelacuran berlesen di pusat hiburan Labuan yang menyalahguna permit pelayan.

Salam Hormat.

KUMPULAN PENCARI KEBENARAN LABUAN.

No comments:

Post a Comment