Sunday 12 August 2012

KERAJAAN SABAH SAMBUT BAIK TOR RCI




KOTA KINABALU  : Kerajaan negeri dan rakyat Sabah menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggariskan terma rujukan (TOR) yang komprehensif untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata beliau percaya TOR itu meliputi semua aspek, adil dan telus.

Beliau berkata pendedahan TOR itu pada hari ini juga membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib prihatin dan mendengar gesaan dan keperluan rakyat di Sabah dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Kepimpinan BN bukan sekadar memberikan janji. Beliau (Najib) melaksanakan dan menunaikan apa yang beliau kata akan lakukan," katanya selepas Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat BN negeri di Bangunan Umno di sini.

Terdahulu, Najib mengumumkan TOR lapan perkara bagi RCI itu yang menurutnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata beliau berharap kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menjalankan tanggungjawabnya dan mencapai objektif RCI.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok berkata Sabah perlu memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri yang benar-benar serius mahu menyelesaikan masalah itu.

Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata hampir semua isu yang dibangkitkan oleh Upko berhubung dengan penubuhan RCI telah dimasukkan dalam TOR.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata parti itu agak berpuas hati dengan gabungan pesuruhjaya RCI dan TOR. (Bernama)


No comments:

Post a Comment