KOTA KINABALU : Datuk Seri
Najib Tun Razak semasa mengumumkan perincian dan terma rujukan Suruhanjaya
Siasatan Pendatang Asing (RCI) Sabtu berkata suruhanjaya itu diberi masa enam
bulan untuk menyiapkan siasatan mengenai masalah kebanjiran pendatang asing
tanpa izin di Sabah.
Perdana Menteri berkata
tempoh enam bulan itu bermula dari tarikh tauliah pelantikan pengerusi dan
anggota RCI dikeluarkan dan laporan siasatan itu perlu dikemukakan kepada Yang
di-Pertuan Agong.
Katanya suruhanjaya itu akan
dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip
Kiong manakala Ketua Setiusaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai setiausahanya.
RCI akan dianggotai empat
pesuruhjaya iaitu bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof
Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman
Luping, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk K.Y Mustafa dan Timbalan
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga bekas Ketua Polis Kuala
Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, katanya.
Cadangan kerajaan
persekutuan bagi penubuhan suruhanjaya itu mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan
1950 telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, katanya kepada pemberita
selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri di
Bangunan Umno, dekat sini. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa
Aman.
Perdana Menteri turut
mengumumkan terma rujukan suruhanjaya itu yang bermatlamat untuk menyiasat
jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan atau
kewarganegaraan.
Beliau berkata siasatan akan
menjurus kepada sama ada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan
kepada pendatang asing di Sabah adalah menurut peruntukan undang-undang.
Suruhanjaya juga akan
menyiasat sama ada pendatang asing di Sabah yang memegang kad pengenalan biru,
resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut
undang-undang telah didaftarkan dalam daftar pemilih, katanya.
Selain itu, Najib berkata
RCI juga akan menyiasat sama ada pihak berkuasa yang berkenaan telah mengambil
apa-apa tindakan atau membuat apa-apa penambahbaikan kepada prosedur amalan
standard, kaedah-kaedah dan peraturan bagi mengelakkan apa-apa ketidakteraturan
daripada segi undang-undang.
Siasatan lebih lanjut juga
perlu berhubung prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan
berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada
pendatang asing di Sabah dengan mengambil kira standard dan norma antarabangsa
yang terpakai bagi Malaysia, katanya.
"Ia mengesyorkan
apa-apa pindaan atau perubahan untuk memantapkan dan menambah baik prosedur
amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan itu," katanya.
Najib berkata RCI juga
ditubuhkan bagi tujuan menyiasat sebab-sebab peningkatan populasi di Sabah
mengikut pelbagai kategori iaitu warga Sabah yang menetap di Sabah, termasuk
mereka yang diberikan kad pengenalan biru dan kewarganegaraan melalui sijil
kelahiran (pendaftaran lewat), pekerja asing (termasuk ahli keluarga),
pendatang asing tanpa izin (termasuk ahli keluarga) dan pelarian serta meneliti
kesannya terhadap bilangan yang mendaftar dalam daftar pemilih.
"Kita juga menyiasat
implikasi sosial ke atas masyarakat di Sabah yang berbangkit daripada pemberian
kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dan
menyiasat bilangan pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan
biru atau kewarganegaraan dengan mengambil kira status mereka sebagai orang
yang tidak bernegara".
Najib berkata penubuhan
suruhanjaya siasatan itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan untuk
menyiasat isu-isu yang dibangkitkan berhubung pendatang asing di Sabah.
Beliau berkata kerajaan
berharap rakyat Sabah akan mendapat manfaat daripada penubuhan suruhanjaya
siasatan berkenaan dan bersama-sama menyokong kerajaan dalam mencari strategi
dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah yang berkaitan.
Sebelum ini, pelbagai pihak
di Sabah termasuk parti komponen BN negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
begitu lantang menyuarakan masalah pendatang tanpa izin yang tidak berkesudahan
dan berharap kerajaan BN melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan.
Berdasarkan jawapan di
Parlimen tahun lepas, penduduk Sabah yang berjumlah 651,304 pada 1970 meningkat
kepada 929,299 sedekad kemudian. Bagaimanapun bagi tempoh dua dekad selepas
itu, populasi Sabah meningkat secara ketara kepada 1.5 juta dan dicatat pada
2,468,246 orang menjelang 2000. (Bernama)
No comments:
Post a Comment