Oleh : VOON MIAU PING
ST PETERSBURG (RUSIA) :
Pendirian Malaysia berhubung isu keselamatan siber dan perlunya langkah
penguatkuasaan dipertingkat untuk melindungi kedaulatan negara serta
keselamatan rakyat pada Mesyuarat Peringkat Menteri Telekomunikasi dan
Penerangan APEC (Telmin-9), menarik perhatian ramai anggota perwakilan.
Menteri Komunikasi dan Media
Massa Rusia Nikolay Nikiforov berkata isu yang disuarakan Menteri Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada mesyuarat itu semalam,
amat tepat dengan masanya.
Pada sidang akhbar bersama
peringkat menteri selepas berakhirnya mesyuarat dua hari itu di sini,
Nikiforov, yang juga pengerusi Telmin-9, berkata ancaman siber bukan saja
menjejaskan aspek sosial sesebuah masyarakat, tetapi juga persekitaran
perniagaan sesebuah negara.
Oleh itu, kata beliau,
anggota APEC perlu bekerjasama untuk menangani perkara ini.
"Satu arah tuju yang
sekata berkaitan ICT perlu wujud dalam APEC untuk menjadi platform penting bagi
pembangunan dan kemakmuran ekonomi kita," katanya.
Semalam, Rais menyeru
masyarakat global supaya meningkatkan daya tahan mereka dan terus melaksanakan
program penguatkuasaan undang-undang bagi memerangi jenayah di ruang siber.
Pada sidang akhbar Rabu,
beliau berkata ancaman siber terhadap kedaulatan negara dan keselamatan orang
ramai tidak boleh dipandang ringan.
"Ramai daripada kita
menganggap ICT dan ruang siber mewujudkan dunia tanpa batasan dan sempadan.
"Bagaimanapun, pada
waktu yang sama, kita perlu menerima hakikat bahawa keselamatan siber bagi
setiap negara dalam memenuhi keperluan domestiknya, perlu juga
dipelihara," kata Rais.
Sehubungan itu, beliau
mencadangkan agar anggota APEC sama-sama menyelami isu itu secara lebih
mendalam untuk mencari formula untuk menanganinya.
"Ini suatu bidang, yang
saya percaya, patut kita sama-sama bekerja rapat dan akhirnya memberi cadangan
agar masyarakat dan kedaulatan negara kita dapat dilindungi," katanya.
Rais berkata walaupun
anggota APEC mungkin mempunyai pandangan berbeza tentang perkara ini, namun
usaha melindungi rakyat daripada jenayah siber, perlu dijadikan keutamaan.
"Apabila kita bercakap
tentang keselamatan siber, kita perlu mengambil kira kekangan domestik yang
kita hadapi dalam menyediakan kebebasan demikian, iaitu sesuatu tindakan yang
dianggap merupakan suatu jenayah apabila dilakukan di luar ruang siber, perlu
juga dianggap sebagai suatu jenayah apabila dilakukan di dalam sistem ruang
siber," katanya.
Jika tidak, tegas beliau,
undang-undang dan peraturan yang melingkungi penggunaan ICT akan dianggap tidak
mempunyai makna.
Bercakap kepada Bernama,
Rais berkata apabila melaksanakan undang-undang ICT, ia tidak bermakna kerajaan
cuba mengawal dan menapis kandungan Internet, tetapi sebenarnya ia bertujuan
untuk menjaga keselamatan domestik negara.
"Keselamatan negara
amat penting; masa depan tidak lagi boleh dianggap hanya melibatkan penggunaan
senjata M16 atau bom tangan.
"Apa yang akan menjadi
isu ialah mereka akan memusnahkan sistem negara melalui Internet dan ini perlu
dilihat sebagai sesuatu yang berpotensi untuk mencetuskan masalah besar,"
katanya.
Terdahulu, para pemimpin
Telmin-9 sebulat suara menerima pakai Deklarasi St Petersburg.
Deklarasi 37 perkara itu
bertemakan "Membina Keyakinan dan Keselamatan Dalam Penggunaan ICT Untuk
Meningkatkan Pertumbuhan Ekonomi dan Kemakmuran".
Ia memfokuskan lima bidang
utama iaitu Memajukan ICT Untuk Memupuk Pertumbuhan Baru, Memperkasa Kegiatan
Sosioekonomi Melalui Penggunaan ICT, Membina Persekitaran Selamat dan Boleh
Dipercayai, Memupuk Integrasi Ekonomi Serantau dan Mengukuhkan Kerjasama Dalam
Sektor ICT.
Antara pencapaian penting
mesyuarat ini ialah para pemimpin sependapat bahawa semua pemegang kepentingan
di rantau APEC perlu bekerjasama untuk memupuk integriti dan ketahanan
rangkaian, mengambil kira ancaman sedia ada dan yang bakal dihadapi dalam
bidang ICT serta mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan ICT.
Bagi mencapai matlamat berhubung
capaian jalur lebar melalui ICT seperti yang terkandung dalam Deklarasi Bangkok
2008, para anggota perwakilan juga bersetuju untuk menggalakkan negara anggota
berusaha ke arah mewujudkan capaian sewajarnya serta berkualiti terhadap jalur
lebar di rantau APEC menjelang 2015.
Anggota perwakilan Telmin-9
juga mengakui bahawa kumpulan rentan, terutama kanak-kanak dan anak muda amat
terdedah kepada ancaman daripada komuniti dalam talian dan oleh itu, setiap
anggota APEC perlu melaksnakan strategi untuk memerangi ancaman ini.
Hasil mesyuarat ini akan
dibentang pada Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 dan Mesyuarat
Peringkat Menteri APEC ke-24 di Vladivostok bulan depan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment