KUALA LUMPUR : Sekretariat
Ulama Muda Malaysia bersetuju dengan saranan seorang tokoh agama di Tumpat,
Kelantan, supaya umat Islam tidak menyokong DAP kerana mendakwa parti itu
secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam.
Pengerusi jawatankuasa kerja
sekretariat tersebut Fathul Bari Mat Jahaya berkata umat Islam perlu berfikir
dan bermuhasabah sebelum membuat pilihan agar tidak memilih berlandaskan nafsu
atau dendam yang membawa padah buruk.
“Apa yang saya dapat lihat,
agenda DAP berbeza dengan MCA dan MIC kerana mereka ini digolongkan sebagai
bukan kafir harbi yakni tidak membawa sebarang kemudaratan kepada kedudukan
Islam dan umatnya,” katanya mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat,
Abdullah Sa’amah, semalam bahawa umat Islam tidak boleh menyokong DAP kerana ia
haram serta berdosa.
Gesaan itu adalah ekoran
pendirian parti PAS untuk terus bekerjasama dengan DAP sedangkan pengerusi DAP
Karpal Singh berkeras supaya PAS menggugurkan niat untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara Islam.
Fathul Bari meminta rakyat
Malaysia khususnya yang beragama Islam meneliti semula sejarah penubuhan parti
PAS, UMNO dan DAP supaya dapat memahami pendekatan yang dibawa setiap parti.
“Allah telah mengurniakan
akal serta fikiran, jadi kita perlu memanfaatkan kurniaan itu dan tidak
mensia-siakannya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Tambahnya umat Islam perlu
mendidik golongan bukan Islam serta mendekatkan diri dengan mereka agar
golongan ini menerima maklumat yang tepat mengenai dakwah Islam yang suci dan
murni.
Sementara itu, Presiden
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Ismail Mina Ahmad
berpendapat umat Islam dilarang sama sekali menyokong mana-mana parti atau
pertubuhan yang menentang Islam serta pelaksanaan hukum Islam.
“Sesiapa yang menentang
Islam serta pelaksanaan hukum Islam maka secara syarak, umat Islam dilarang
menyokong golongan ini yang digolongkan sebagai kafir harbi.
“Mereka ini merupakan
golongan yang boleh membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam sebagai agama
Persekutuan serta umat Islam amnya,” katanya.
Ismail berkata penolakan ini
bukan berlandaskan perasaan namun ia disebabkan penentangan parti tersebut
serta bercanggah dengan kedudukan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan yang
mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.
“Jangan cemari kesucian
Islam semata-mata kepentingan politik, di mana tanggungjawab kita sebagai
pembela agama yang dipertanggungjawab memartabat syiar Islam,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment