Wednesday 8 August 2012

LEE CHONG WEI AKAN CUBA DI OLIMPIK 2016





TIBA....Lee tiba di KLIA pada 7 Ogos 2012 menandatangani autograf untuk peminat.

Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

SEPANG : Pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei menjangkakan akan mencuba nasib sekali lagi di kejohanan sukan Olimpik di Rio de Janeiro, pada 2016 sekiranya beliau masih lagi mempunyai keupayaan untuk bertanding di temasya dunia bagi membolehkan Malaysia menamatkan kemarau emas di kejohanan dunia tersebut.

Lee, 30, bagaimanapun berkata, sementara menantikan saat itu, beliau akan memberikan fokus kepada dua kejohanan antarabangsa yang bakal berlangsung iaitu Sukan SEA dan juga Sukan Komanwel.

“Saya tidak fikir jauh ... tunggu untuk Sukan Asean dan Komanwel, sekiranya tiada kecederaan, saya akan teruskan untuk (Olimpik) 2016,” katanya kepada pemberita ketika pulang ke tanah air awal pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketibaan beliau hari ini disambut hanpir seribu penyokongnya yang membanjiri KLIA sejak jam 5 pagi lagi.

Mengulas berkenaan sambutan yang diterima walaupun hanya memenangi pingat perak, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata beliau berasa bangga terhadap sambutan berkenaan, namun masih kecewa kerana gagal membawa pulang emas walaupun beliau merupakan harapan utama untuk emas negara di kejohanan Olimpik tersebut.

“Saya bangga diberi sambutan seperti ini ... walaupun saya kecewa tidak dapat pingat emas. Tapi (perkara) sudah lepas,” katanya kepada pemberita.

Menurut Lee, walaupun beliau sedar ada tawaran lumayan daripada beberapa pihak kepadanya sekiranya menjuarai kejohanan berkenaan, beliau bagaimanapun menegaskan fokusnya pada ketika itu hanya tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan emas pertama negara sahaja.

“Saya sedar ada orang tawar hadiah ... tapi  saya lebih fokus untuk emas di Olimpik,” tegasnya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berkenaan kritikan beberapa pihak terhadap kekalahannya kepada Lin Dan.

“Saya sudah melakukan yang terbaik.”

Para penyokong anak kelahiran Pulau Pinang ini turut mengedarkan bendera Malaysia dan juga menyanyikan lagu Negaraku ketika menyambut kepulangan beliau.

Malah, mereka turut mengibarkan Jalur Gemilang dan membawa banner beserta poster tertera “Kami Sayang LCW (Lee Chong Wei)” “Kamu adalah Hero Kami” “Datuk Lee Chong Wei Wira Negara” dan sebagainya.

Lee tewas kepada seteru tradisinya dari China, Lin Dan dengan pungutan mata 21-15, 10-21 dan 19-21.

Dengan kekalahan tersebut, ini bermakna Lee telah memungut pingat perak keduanya selepas tewas kepada pemain sama di sukan Olimpik Beijing empat tahun lalu.

Turut hadir menyambut kepulangan beliau adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim. (TMI)

No comments:

Post a Comment