KOTA KINABALU : Hampir semua
jabatan dan agensi Persekutuan utama di Sabah kini diketuai oleh penjawat awam
di kalangan anak tempatan di negeri ini, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk
Seri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata ini termasuk
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan Jabatan
Pelajaran.
Katanya kerajaan Persekutuan
sentiasa memberi peluang kepada anak tempatan untuk mengetuai jabatan dan
agensi Persekutuan di negeri ini seperti yang diharapkan oleh rakyat Sabah.
"Banyak lagi jabatan
dan agensi Persekutuan lain di Sabah yang diterajui oleh anak tempatan, jadi
isu ini tidak timbul (soal anak tempatan dipinggirkan)," katanya kepada
pemberita selepas melawat Hospital Ratu Elizabeth 1, dekat sini malam tadi.
Ali berkata demikian ketika
diminta mengulas kenyataan berterusan pembangkang di Sabah yang menuntut supaya
lebih banyak penjawat awam tempatan dari Sabah dilantik sebagai ketua jabatan
dan agensi Persekutuan di negeri ini selaras dengan konsep 'Borneonisation'
yang dipersetujui semasa pembentukan gagasan Malaysia.
Mengenai kerja pembinaan
bangunan baru Hospital Ratu Elizabeth 1, Ali berkata beliau berpuas hati dengan
tahap pencapaian projek itu dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual.
Katanya kerajaan Persekutuan
melalui kementerian yang berkenaan sentiasa menyalurkan peruntukan yang
diperlukan bagi memantapkan lagi kemudahan di hospital berkenaan demi kebaikan
bersama.
Terdahulu, ketika berucap
pada majlis berbuka puasa dengan penjawat awam di Dewan Serbaguna Kompleks
Pentadbiran Persekutuan di Likas dekat sini, Ali berkata antara prinsip
pentadbiran yang beliau tekankan ialah merakyatkan perkhidmatan awam.
Beliau berkata pendekatan
seumpama itu penting bagi meningkat imej perkhidmatan awam di mata rakyat.
Ali meminta penjawat awam
supaya membudayakan amalan turut padang, senyum dan mesra rakyat.
Beliau turut berharap agar
semua ketua jabatan dapat melihat soal kebajikan petugas terutama dalam hal
kenaikan pangkat bagi mereka yang sudah lama berkhidmat dalam sesuatu jabatan
atau agensi Persekutuan.
"Kita bukan sahaja
tengok perkara di luar tetapi juga kita kenalah tengok-tengok di belakang kita
terutama soal kebajikan kakitangan kita. Kalaulah semua ketua jabatan melakukan
ini, tentu sekali kakitangan akan berasa senang hati dan mungkin tidak perlu
lagi bagi Cuepacs membangkitkan hal ini," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment