Saturday 11 August 2012

TANPA MEREKA INI, TIADA YANG TIDUR LENA





SUMBANGAN…..Pegawai Pemerintah PGA Batalion 15 Landi menerima sumbangan raya daripada V.K Liew.

Oleh: SHAIMON S JUMADI           Foto : SAFFIE S JUMADI

PERANAN  dan pengorbanan yang disumbangkan oleh para anggota beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (DRM) Maritim, Marin Polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Anggota Tentera, Pasukan Bomba,  Penyelamat dan Jabatan Penjara  yang menjalankan  tugas tidak ada sempadannya; di samping tidak mengenal erti panas, hujan,  malam dan siang untuk menjaga  keselamatan orang  awam harus dihargai dan disanjung tinggi perjuangan mereka.
Adalah kalanya mereka terpaksa meninggalkan keluarga dan anak isteri bertugas di perantauan semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama daripada diceroboh oleh musuh-musuh yang sentiasa  bakal datang tanpa diundang di luar jangkaan.
Dengan adanya tentera dan polis yang merupakan benteng negara yang menjaga ketenteraman orang awam, sama ada di darat mahupun di perairan; maka orang awam tanpa  resah dan takut sehingga dapat tidur nyenyak.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Sandakan Datuk Liew Vui Keong berkata demikian ketika berucap di majlis Penyampaian Sumbangan Raya dan Majlis Berbuka Puasa bersama 8 pasukan  anggota beruniform di Yacht Club, Sandakan petang, kelmarin.




TERIMA KASIH…V.K Liew menyampaikan sumbangan raya kepada salah seorang anggota tentera RAMD.


 

ANGPAU…Timbalan OCDP Supt Fadzil Mohd Ali bagi pihak PDRM turut menerima sumbangan berupa Angpau raya daripada V.K.Liew.

“Sebagai menghargai dan mengenang jasa-jasa bakti  terhadap pengorbanan yang disumbangkan oleh para anggota beruniform yang bertungkus lumus menjaga ketenteraman dan keselamatan awam khususnya di Sandakan;  maka saban tahun  saya mewakili kerajaan yang ada pada hari ini, akan memberikan sumbangan raya sama ada berbentuk yang ringgit mahupun barang-barang untuk keperluan bagi menyambut hari lebaran yang akan menjelma 10 hari lagi dari sekarang,” jelas V.K.Liew.

Katanya lagi, peranan yang dimainkan oleh anggota tentera dan juga polis memang cukup bermakna kerana dengan adanya kawalan ketat sehingga mempertaruhkan nyawa mereka bila berdepan dengan musuh-musuh yang sedia ada.

Dalam konteks ini tambah Liew, sesiapa sahaja tidak boleh menafikan bahawa musuh-musuh negara selain kegiatan jenayah seperti lanun, perompak, pengedaran  dadah  memang  sentiasa wujud di mana-mana tempat sahaja tetapi dengan adanya kecekapan anggota-anggota polis dan tentera bukan sahaja berjaya menumpaskan kegiatan-kegiatan tersebut; malahan sekaligus dapat menurunkan kadar nisbah  peratus  bilangan  jenayah yang terus bermaharaja rela.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan AM (PGA) Batalion ke 15 Supt Landi Ilod antara lain menjelaskan  bilangan anggota yang terdapat di pangkalan PGA Karamunting dan Batu 10 Jalan Sungei Batang seramai 500 anggota biasa dan termasuk pegawai serta  seramai 200 isteri yang menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 700 orang. Mereka adalah  benteng dan tulang belakang  kepada tunjang pilihanraya umum ke 13 nanti sebagai hala tuju dan penentu kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN)

Dalam kesempatan itu Landi selaku bagi pihak PGA Batalion ke 15  yang bertanggungjawab menjaga kepentingan sosial dan kebajikan para anggota-anggota PGA sama ada di pangkalan batu 10 dan juga Karamunting beliau meminta jasa baik kepada Datuk VK Liew sebagai Ahli Parlimen Sandakan untuk mengemukakan cadangan  mengenai pembinaan satu lagi bangunan fasa 2 di Batu 10 kepada pihak kementerian Pertahanan Malaysia.

“Kebanyakan anggota-anggota PGA yang tinggal di Berek PGA di Karamunting ini menghadapi  sedikit masalah kerana mereka yang bertugas di Markas PGA Batu 10  terlalu jauh jarak tempat mereka bertugas dan terpaksa ulang alik setiap hari sejauh 30 batu dan bila adanya bangunan Fasa 2 itu nanti, bukan sekadar untuk dijadikan tempat kediaman bahkah selebihnya boleh dijadikan pejabat pentadbiran PGA,” ujarnya.

Turut menerima sumbangan berupa makanan dan wang raya ialah PDRM, TLDM, TDDM (RAMD) Penjara, Bomba, Marin Polis dan Maritim.

Turut hadir pada  majlis tersebut  ialah Datuk Hj Alipuddin KK Hj Puyon Naib  Ketua Bahagian UMNO Sandakan; Datuk Hj Awang Sham Ag Hamid Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sandakan; Ketua  Bahagian UPKO Sandakan Datuk Ambrose Juin  dan pegawai pegawai kanan kerajaan Negeri dan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment