Friday, 17 August 2012

PM JANJI BAJET 'SEMUA BERASA BANGGA'





PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sumbangan komen dan pendapat rakyat untuk membantu merangka Bajet 2013 telah meningkat hampir lima kali ganda berbanding dengan tahun lalu.

Katanya, sejumlah 4,175 cadangan dan komen telah dikumpulkan daripada Google Moderator dan juga daripada lamanweb peribadinya - 1Malaysia.

"Saya sentiasa menghargai input rakyat dalam proses membuat keputusan yang mempunyai pengaruh terhadap Negara kita – sama seperti anda apabila anda meluangkan masa untuk memberi pendapat.

"Kini saya berbesar hati untuk berkongsi bersama anda pandangan saya tentang bajet 2013 ini," tulis perdana menteri dalam lamanwebnya.

Perdana menteri berkata, dua isu utama yang diutarakan dalam cadangan dan komen yang dihantar oleh orang ramai.

"Isu pertama ini adalah subjek yang menyentuh kehidupan harian kita – kos sara hidup," katanya.

Menurutnya, ia merupakan isu paling hangat yang sentiasa disampaikan oleh rakyat ketika beliau membuat 'walkabout' sama ada di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung seluruh pelusuk negara.

"Dan di sini saya ingin memberi jaminan bahawa isu ini kekal sebagai satu komitmen utama kerajaan.

"Sejak kerajaan menjadikannya sebagai sebuah Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam GTP (Program Transformasi Kerajaan), pelbagai langkah telah diambil untuk meringankan beban rakyat, antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan lain-lain lagi.

"Inisiatif ini akan diperkembangkan lagi oleh kerjaan sebelum akhir tahun tetapi jelas bahawa terdapat banyak yang perlu kita lakukan – dan saya memberi jaminan bahawa kami akan mengambil berat semua pendapat serta cadangan yang telah anda sumbangkan," katanya.

Topik kedua terhangat, kata perdana menteri, adalah berkaitan kos perumahan, yang menurutnya, merupakan satu lagi isu berpanjangan dan kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menanganinya.

"Polisi perumahan kita telah dikhaskan untuk golongan perlu dengan adanya Program Rumah 1Malaysia (PR1MA) yang menyediakan perumahan yang buat mereka yang berpendapatan sederhana dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) buat mereka yang berpendapatan rendah.

"Isu-isu ini jelas terbukti berada dekat di hati rakyat, tetapi kami tidak akan mengabaikan isu lain yang telah anda suarakan.

"Ini termasuk keprihatinan tentang keselamatan awam, peranan belia dalam pembangunan negara, penghasilan makanan serta hiburan dan industri kreatif – semuanya akan kami memberikan pertimbangkan sewajarnya.

"Semangat 1Malaysia seperti inilah yang menyentuh hati saya. Ini membuktikan rakyat Malaysia mampu bersatu-padu bukan sahaja dalam sukan tetapi juga untuk tujuan perbincangan masa depan kita," katanya.

Perdana menteri berkata, rakyat Malaysia telah menunjukkan tahap keprihatinan yang tinggi terhadap kebaikan masa depan negara melalui komen dan cadangan yang diberikan.

Sumbangan mereka, tegasnya, dapat membantu kerajaan supaya membentangkan bajet yang terbaik untuk rakyat.

"Pada saat ini hinggalah 28 September nanti, kami akan berusaha keras untuk menghasilkan sebuah bajet yang dapat kita semua berasa bangga.

"Sokongan anda terhadap usaha-usaha saya sebagai perdana menteri amat penting bagi kemakmuran dan kesejahteraan kita serta generasi-generasi akan datang.

"akhir sekali saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, mohon maaf zahir dan batin," katanya.

No comments:

Post a Comment