PUCHONG : Keasyikan beberapa
pelanggan diurut tanpa seurat benang di pusat refleksologi Bandar Puteri di
sini terbantut apabila premis dikunjungi mereka diserbu pihak berkuasa, lewat
malam kelmarin.
Difahamkan, premis sama
pernah diserbu sebelum ini namun pengusaha dikatakan tidak serik mengulangi
kesalahan lama.
Dalam serbuan kira-kira jam
11 malam oleh Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan
Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Serdang itu, seramai 11 wanita warga asing, dua penjaga premis dan tiga
pelanggan ditahan.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan
MPSJ, Ahmad Hasan berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya
menyerbu rumah urut dan pusat penjagaan kesihatan di Jalan Puteri 1/4 dan
Puteri 1/8.
Menurutnya, anggota penguat
kuasa terpaksa memecahkan pintu masuk utama kerana penjaga premis menutup
kesemua pintu bagi menyukarkan tindakan pecah masuk ke dalam premis.
Katanya, premis dilengkapi
kamera litar tertutup (CCTV) di setiap pintu dan di bahagian luar dipercayai
untuk mengawal kehadiran pihak berkuasa.
Beliau berkata, berapa
kondom yang sudah digunakan ditemui dan hasil siasatan mendapati pengusaha
premis menawarkan khidmat seks serta urutan badan ke badan(B2B) kepada
pelanggan.
“Ketika tindakan operasi
diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd dijalankan di
premis kedua, terdapat pelanggan yang diurut dalam keadaan berbogel.
“Kedua-dua premis dikenakan
tindakan di bawah UUK 13(k) Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan
Kesihatan MPSJ 2007 kerana melanggar syarat-syarat sekatan lesen yang
dikeluarkan majlis dengan menggajikan wanita warga asing,” katanya.
Ahmad berkata, semua yang
dicekup diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sehingga Julai lalu katanya,
sebanyak 127 kompaun dikeluarkan manakala 36 premis rumah urut dikenakan
tindakan sitaan dan penutupan premis oleh MPSJ. (Sinarharian)
No comments:
Post a Comment