Wednesday 8 August 2012

RAKYAT MALAYSIA PERLU BANTAH LGBT






KUALA LUMPUR : Rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum perlu membantah amalan budaya songsang iaitu perkahwinan sejenis yang boleh menjejaskan institusi kekeluargaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bagi tujuan itu, penganut pelbagai agama di negara ini perlu membuat kenyataan bersama bagi membendung gejala negatif tersebut.

Masyarakat Kristian di Malaysia juga tidak bersetuju dengan perkahwinan sejenis, katanya mengulas penganjuran majlis resepsi di ibu negara baru-baru ini bagi meraikan perkahwinan sejenis antara paderi gay beragama Kristian yang juga rakyat Malaysia, Ngeo Boon Lin dengan teman lelakinya seorang penerbit muzik, Phineas Newborn III di New York, Amerika Syarikat tahun lepas.

“Kejadian ini seumpama memberi gambaran masyarakat Malaysia kini dalam keadaan bercelaru (mengamalkan budaya songsang) sehingga sanggup meraikan perkahwinan sejenis, yang jelas motif mereka adalah memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Iftar Perdana Ramadan bersama kakitangan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri di Masjid Negara di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali.

Pada majlis itu, Jamil Khir turut menyampaikan bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM452,600 kepada 1,806 kakitangan di setiap agensi yang dikategorikan golongan asnaf dengan masing-masing menerima RM200 setiap seorang.

Sementara itu, Che Mat berkata kesedaran mengenai ibadah puasa dalam kalangan umat Islam semakin meningkat apabila Jawi hanya mencatatkan enam kes membabitkan mereka yang tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai setakat ini.

Jumlah kes mereka yang ditangkap tidak berpuasa semakin berkurangan berbanding 12 kes tahun lepas dan 14 kes pada 2010, katanya.

Che Mat berkata Jawi menjalankan operasi itu sejak hari pertama Ramadan dan mereka yang didapati bersalah tidak berpuasa, akan dihukum di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Akta 559) iaitu denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali. (Bernama)

No comments:

Post a Comment