Thursday, 16 August 2012

TIADA RAKYAT MALAYSIA MATI KEBULURAN



HULUR BANTUAN….Zakaria dan Juslie masing-masing menyampaikan sumbangan  Raya kepada golongan Warga Emas.

Oleh : SHAIMON S JUMADI         Foto : MAZLAN JANUARY

HANYA tinggal 4 hari sahaja lagi 1 Syawal 1433H akan menjelma di mana umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidilftri dengan hati yang gembira dan tidak kurangnya juga mereka yang ditinggalkan orang tersayang seperti kematian ibubapa, anak-anak, suami/isteri dan keluarga pada bulan Ramadan, namun ini semua takdir Illahi yang menentukan segalanya.

Bagi orang yang masih hidup, teruskan menjalani kehidupan dengan memperbanyakkan taqwa kepada Allah, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan Al-Mubaraq yang penuh berkat ini. Namun bagi bagi golongan anak-anak yatim, fakir miskin, warga emas pula tidak pernah terpinggir; malahan mereka terus mendapat perhatian dalam menerima apa sahaja bantuan untuk sama-sama menyambut hari raya yang mulia ini, dengan menempuhi kejayaan menjalani ibadah puasa selama sebulan yang penuh dengan dugaan dan cabaran.

Ahli Parlimen Kawasan Libaran Datuk Hj Juslie Ajirol berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Raya kepada golongan Warga Emas, Anak-Anak Yatim golongan miskin dan Ibu Tunggal di Masjid Darul Aman, Gum-Gum, Batu 16, Jalan Labuk petang semalam.

Katanya, tujuan memberikan sumbangan itu kepada golongan tersebut adalah sebagai menunaikan tanggungjawab kerajaan supaya tidak meminggirkan golongan yang kurang berada, supaya mereka sama-sama dapat menyambut hari lebaran dengan penuh kegembiraan bersama masyarakat yang lainnya.

Sementara itu, dalam ucapan ADUN Gum-Gum Datuk Hj Zakaria Hj Mohd Edris antara lain menjelaskan rakyat di negara ini khususnya di Sabah amat beruntung dan bernasib baik jika dibandingkan dengan penduduk-penduduk di luar negara lain yang terus dibelenggu kebuluran walaupun ketika puasa Ramadan dan ada yang mati kelaparan tanpa mendapat sedikit pembelaan.

"Kita di sini kalau makanan yang dimakan tidak habis, dibuang saja walaupun dianggap itu satu pembaziran. Inilah kebaikan kerajaan Malaysia. Semiskin-miskin rakyat di negara ini, namun 90 peratus masih terbela dan diambil perhatian oleh semua pihak; sama ada pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan. Mereka terus mendapat bantuan walaupun tidak seberapa. Namun masih bersyukur kerana ada insan-insan yang penyayang kepada golongan-golongan ini, ” jelas Zakaria.

Ini cukup jelas tambah Zakaria, golongan warga emas yang terpinggir daripada keluarga dan anak-anak mereka telah ditempatkan yang agak istimewa di pusat kebajikan seperti rumah orang tua; dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Cacat Penglihatan mereka masing-masing mempunyai tempat tinggal yang selesa dan dibekalkan segala keperluan yang mencukupi dengan bimbingan agama dan sebagainya.

Program Sumbangan Raya ini dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Libaran dengan kerjasama ADUN Gum-Gum dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Libaran.

Turut Hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Libaran Suhaimi Hj Nasir, Pengerusi-Pengerusi JKKK dan Ketua ketua kampung.

No comments:

Post a Comment