SUASANA di dalam bilik
bersalin begitu sunyi sekali. Yang kedengaran hanyalah suara rintihan Rohani
menahan kesakitan hendak melahirkan. "Subhanallah.... sakitnya...isk...isk...isk...isk!...
aduuh....Bang sakitnya tak tahan saya" keluh Rohani pada suaminya Zamri
yang ketika itu ada di sisinya.
"Apalah awak
ni....susah sangat nak bersalin. Sudah berjam-jam tapi masih tak keluar- keluar
juga budak tu. Dah penat saya menunggu. Ni... mesti ada sesuatu yang tak elok
yang awak sudah buat , itulah sebabnya lambat sangat nak keluar budak tu,
banyak dosa agaknya." rungut Zamri kepada isterinya, Rohani pula.
Sebak hati Rohani mendengar
rungutan suaminya itu, tetapi dia tidak menghiraukannya, sebaliknya, Rohani
hanya mendiamkan diri sahaja dan menahan kesakitannya yang hendak melahirkan
itu. Rohani tahu sudah hampir 3 jam dia berada dalam bilik bersalin itu tetapi
bayinya tidak juga mahu keluar. Itu kehendak Allah Taala, Rohani tidak mampu
berbuat apa apa, hanya kepada Allahlah dia berserah.
Sejak Rohani mengandung ada
sahaja yang tidak kena dihati Zamri terhadapnya. Zamri seolah olah menaruh
perasaan benci terhadap Rohani dan anak yang dikandungnya itu.
Jururawat yang bertugas
datang memeriksa kandungan Rohani dan kemudian bergegas memanggil Doktor
Syamsul iaitu Doktor Peribadi Rohani. Doktor Syamsul segera datang dan bergegas
menyediakan keperluan menyambut kelahiran bayi Rohani itu. Rohani hanya
mendiamkan diri menahan kesakitan dan kelihatan air matanya meleleh panas
dipipi gebunya itu. Rohani menangis bukan kerana takut atau sakit tetapi kerana
terkenang akan rungutan Zamri tadi.
Saat melahirkan pun tiba.
Doktor Syamsul menyuruh Rohani meneran ..."Come on Ani. You can do
it...one more...one more Ani." Kata kata peransang Doktor Syamsul itulah
yang membuatkan Rohani begitu bertenaga dan dengan sekali teran sahaja kepala
bayinya itu sudah pun keluar...?Alhamdulillah,? bisik Rohani apabila dia
melihat sahaja bayinya yang selamat dilahirkan itu.
Tiba-tiba Rohani terasa
sakit sekali lagi dan dia terus meneran untuk kali keduanya, sejurus itu juga
keluar seorang lagi bayi, kembar rupanya. "Tahniah Rohani, You got twin,
boy and girl, putih macam You juga." Begitulah kata kata pujian dari
Doktor Syamsul. "Tahniah Zamri, it's a twin" Doktor Syamsul
mengucapkan tahniah kepada Zamri pula.
Zamri hanya mendiamkan diri
sahaja setelah menyaksikan kelahiran anak pertamanya itu, kembar pula . Doktor
Syamsul memang sengaja menyuruh Zamri melihat bagaimana keadaan kelahiran anak
anaknya itu.
Rohani sudah mula merancang
akan nama untuk anak anaknya itu. Yang lelaki akan diberi nama Mohammad Fikri
dan yang perempuan akan diberi nama Farhana. Rohani merasa begitu lega sekali
setelah melahirkan kembarnya itu, tetapi sesekali bila dia teringat kata kata
Zamri sebelum dia melahirkan hatinya menjadi begitu sebak dan sedih sekali.
Sebenarnya memang terlalu
banyak kata-kata Zamri yang membuat Rohani berasa jauh hati sekali. Terutamanya
sepanjang dia mengandung. Tetapi Rohani hanya bersabar, kerana dia tahu kalau
dia mengadu pada emaknya tentu dia akan dimarahi semula. Jadi dia hanya
mendiamkan diri dan memendam rasa sahaja.
Kedua dua anaknya, Mohammad
Fikri dan Farhana telah diletakkan dibawah jagaan Nursery di Hospital
Universiti Singapura (NUH) untuk memberi peluang Rohani berehat sebentar,
kemudian nanti dapatlah dia menyusukan kedua kembar yang comel itu.
Tiba tiba fikiran Rohani
menerbang kembali ke detik detik semasa dia mengandung dahulu. Zamri memang
selalu memarahinya, ada sahaja perkara yang tidak kena. Macam macam kata kata
nista yang dilemparkan kearah Rohani. Ada sahaja tuduhan yang tidak masuk akal,
semuanya dihamburkan pada Rohani seolah olah melepaskan geram. Tidak sanggup
rasanya Rohani menghadapi itu semua tetapi demi kestabilan kandungannya, Rohani
kuatkan juga semangat dan pendiriannya.
Yang paling menyedihkan
sekali ialah sewaktu Rohani mula mula disahkan mengandung. Zamri tidak percaya
yang Rohani mengandung anaknya, dua kali dia membuat pemeriksaan Antenatal
untuk mengesahkan kandungan isterinya itu. Keraguan timbul didalam hati Zamri
tentang anak dalam kandungan Rohani itu.
Zamri tidak boleh menerima
kenyataan yang Rohani akan mengandung sebegitu awal sekali sedangkan mereka
berkahwin baru 3 bulan. Kandungan Rohani sudah masuk 2 bulan... bermakna Rohani
cuma kosong selama sebulan sahaja selepas mereka berkahwin. Bagi Rohani pula
itu perkara biasa sahaja yang mungkin turut dilalui oleh pasangan lain juga.
Setelah membuat pemeriksaan
Doktor, Rohani pulang kerumahnya dalam keadaan sedih. Pada mulanya Rohani
berasa sangat gembira bila dia disahkan mengandung tetapi sebaliknya bila Zamri
tidak mahu menerima anak dalam kandungannya itu, perasaannya terus berubah menjadi
duka pula.
Zamri menuduh yang Rohani
berlaku curang, dan anak dalam kandungannya itu adalah hasil dari kecurangan
Rohani sendiri. Hati isteri mana yang tidak remuk. Hati isteri mana yang tidak
kecewa apabila dituduh sebegitu rupa oleh suaminya sendiri. Rohani pasrah......
Pernah suatu ketika Rohani
bertengkar dengan suaminya. "Kenapa abang berlainan sekarang ni, tak macam
dulu, pelembut, suka berjenaka, ini tidak asyik nak cari kesalahan Ani sahaja.
Mengapa bang?" Rohani bertanya kepada Zamri .
"Kaulah penyebab
segalanya. Tak payahlah nak tunjuk baik." Tempelak Zamri. Entah jantan
mana yang kau dah layan kat opis kau tu." sergah Zamri lagi.
"Abang syak Ani buat
hubungan dengan lelaki lain ke? Subhanallah??.Kenapa Abang syak yang
bukan-bukan ni, Anikan isteri Abang yang sah, tak kanlah Ani nak buat jahat
dengan orang lain pulak, Bang"? sangkal Rohani pula. "Allah dah beri
kita rezeki awal, tak baik cakap macam tu. Itu semua kehendak Allah."
Rohani menghampiri sambil
memeluk badan suaminya tetapi Zamri meleraikan pelukannya dengan kasar sekali
sehingga tersungkur Rohani dibuatnya. Serentak itu juga Rohani menangis . Zamri
langsung tidak mengendahkannya. Deraian airmata Rohani semakin laju. Rohani
hanya mampu menangis sahaja. Amat pedih sekali Rohani rasakan untuk menahan
semua tohmahan dari Zamri, suaminya yang sah.
"Woi, benda-benda tu
boleh terjadilah Ani. Kawan baik dengan bini sendiri, suami sendiri, bapak
dengan anak, hah! emak dengan menantu pun boleh terjadi tau, apatah lagi macam
kau ni, tau tak. Dulu tu kawan lama kau yang satu opis dengan kau tu, Amran,
bukan main baik lagi budak tu dengan kau." Bentak Zamri lagi. Tanpa
disangka sangka rupanya Zamri menaruh cemburu terhadap isterinya.
"Entah-entah keturunan
kau, darah daging kau pun tak senonoh ....heee teruk. Nasib aku lah dapat bini
macam engkau ni." kutuk Zamri lagi pada Rohani. "Bawa mengucap Bang,
jangan tuduh Ani yang bukan-bukan. Ani bukan perempuan yang tak tentu arah.
Walaupun Ani hanya anak angkat dalam keluarga ni, Ani bukan jenis macam tu, Ani
tau akan halal haram, hukum hakam agama.
"Memang Ani tak pernah
tau asal usul keluarga kandung Ani, tapi Ani bersyukur dan berterima kasih pada
emak angkat Ani kerana menjaga Ani sejak dari kecil lagi. Ani dianggapnya
seperti darah daging sendiri.?" Rohani mula membangkang kata kata nista
suaminya itu.
"Abang jangan cuba nak
menghina keluarga kandung Ani kerana walaupun mereka tidak membesarkan Ani
tetapi disebabkan merekalah, Ani lahir ke dunia ini?" tambah Rohani lagi
dengan sebak didada.
Semenjak peristiwa
pertengkaran itulah, setiap hari Rohani terpaksa pergi ke tempat kerja Zamri
apabila habis waktu bekerjanya. Sementara menunggu Zamri pulang Rohani berehat
di Surau tempat Zamri bekerja. Zamri bekerja sebagai seorang salesman handphone
di salah sebuah Pusat membeli belah dan kerjanya mengikut shif. Kalau Zamri
bekerja shif malam terpaksalah Rohani menunggu Zamri sampai tengah malam.
Begitulah keadaannya
sehingga apabila perutnya semakin membesar pun Zamri masih memaksanya.
Terpaksalah Rohani berbohong kepada emak dan keluarganya yang lain dengan
mengatakan yang dia buat kerja overtime semata mata untuk mengelakkan
pertengkaran dan tuduhan serta kata nista suaminya itu.
Dengan keadaan perut semakin
membesar Rohani masih gagahkan juga dirinya pergi bekerja. Kadangkala apabila
Zamri tidak menjemput Rohani ditempat kerja terpaksalah Rohani berasak asak
menaiki bas untuk pulang . Begitulah keadaan Rohani sehinggalah hampir pada
waktu bersalinnya.
Pernah sekali Rohani minta
dijemput kerana dia sudah larat benar tetapi sebaliknya Zamri membalasnya
dengan kata kata kesat kepadanya, perempuan tak tau berdikarilah, berlagak
senang lah, lagak kaya lah, perempuan tak sedar diri lah, tak layak jadi
isterilah, menyusahkan dan macam macam lagi kata kata nista dilemparkan
kepadanya.
Suatu hari Zamri dalam
keadaan marah telah menarik rambut Rohani dan menghantukkan kepala Rohani ke
dinding...Rohani hanya mampu menangis dan menanggung kesakitan. Ini semua
gara-gara Rohani hendak pergi ke rumah Mak Saudaranya yang ingin mengahwinkan
anaknya di Tampines.
Emak Rohani sudah seminggu
pergi kesana untuk menolong Mak Saudaranya itu. Hari sudah semakin petang jadi
Rohani mendesak agar bertolak cepat sikit, lagipun langit sudah menunjukkan
tanda tanda hendak hujan. "Hari dah nak hujan, Bang. Elok rasanya kalau
kita pergi awal sikit bolehlah tolong apa yang patut.?" Pinta Rohani.
Tanpa disangka sangka kata
kata Rohani itu membuatkan Zamri marah dan dengan dengan tiba-tiba sahaja Zamri
bangun. Dengan muka bengisnya, Zamri memandang Rohani. "Kau tahu aku
penatkan, tak boleh tunggu ke, aku punya sukalah nak pergi malam ke, siang ke,
tak pergi langsung ke." marah Zamri.
Rohani menjawab,"Itu
Ani tau, Abang kan dah berehat dari pagi tadi takkan masih penat lagi. Sepantas
kilat Zamri datang kepada Rohani dan direntapnya rambut Rohani lalu dihantukkan
kepala Rohani kedinding. Rohani tidak berdaya untuk menghalangnya. Ya Allah!
Sungguh tergamak Zamri berbuat demikian...terasa kebas kepala Rohani dan
dirasakannya mula membengkak. Pening kepala Rohani dibuatnya.
"Ya Allah, berilah aku
kekuatan untuk menerima semua ini. Kau lindungilah aku dan kandunganku ini dari
segala bahaya dan azab sengsara, Ya Allah.? Doa Rohani dalam hatinya dengan
penuh keluhuran. Rohani memencilkan dirinya di sudut dinding dan menangis
sepuas puasnya.... "Bang, Ani minta maaf jika kata-kata Ani tadi
membuatkan Abang marah." Rohani memohon maaf kepada suaminya sambil
tersedu sedu.
Hari itu seperti biasa Zamri
ketempat kerjanya. Tiba-tiba handphonenya berbunyi. Kedengaran suara Doktor
Syamsul menyuruhnya datang segera ke hospital, kerana ada sesuatu yang berlaku
terhadap Rohani.
Setibanya di hospital
sahaja,"Zamri, kami sudah cuba untuk menyelamatkan Rohani tapi kuasa Allah
melebihi segalanya, Rohani mengalami pendarahan otak yang serius, sebelum ini
pernah tak Rohani jatuh atau... kepalanya terhantuk kuat pada sesuatu kerana
sebelah kanan kepalanya kelihatan bengkak dan ada tanda lebam. Mungkin kesan
dah lama ? Doktor Syamsul bertanya agak serius. Dia inginkan penjelasan sebenar
dari Zamri. Zamri hanya mendiamkan diri.
Serentak itu juga Zamri
teringat yang dia pernah menarik rambut Rohani dan menghantukkan kepala Rohani
kedinding sekuat kuatnya...dan selepas kejadian itu Zakri tidak pernah sekali
pun membawa Rohani ke Klinik untuk membuat pemeriksaan kepalanya. Rohani sering
mengadu sakit kepala yang teruk ...namun Zamri tidak pernah mengendahkan
kesakitan Rohani itu, malah baginya Rohani hanya mengada-ngadakan cerita
......saja buat buat sakit untuk minta simpati...
Sambil menekap mukanya
dengan tangan Zamri menyesal...."YA ALLAH apa yang aku dah buat ni."
Doktor Syamsul menjelaskan
lagi,"Doktor Zain yang merawat Rohani kerana Rohani mengadu sakit kepala
yang amat sangat sewaktu dia memberi susu pada kembarnya di Nursery. Jadi
Doktor Zain telah membawa Rohani ke Lab untuk membuat scanning di kepalanya dan
confirm otaknya ada darah beku tapi malangnya ia sudah ditahap yang kritikal
dan kami tak mampu melakukan apa-apa kerana Rohani tidak mahu di operation
sebelum meminta izin dari awak Zamri.?
Hanya satu permintaan
terakhir arwahnya, dia minta awak membaca diarinya ini. I'm really sorry Zamri.
Allah lebih menyayanginya.? kata Doktor Syamsul lagi lalu menyerahkan sebuah
diari yang berbalut kemas dengan kain lampin bayi yang masih baru kepada Zamri.
Zamri mengambil diari
tersebut. Satu lembaran ke satu lembaran dibukanya. Setiap lembaran tertulis
rapi tulisan tangan Rohani mencoretkan peristiwa yang berlaku padanya setiap
hari. Begitu tekun sekali Zamri membacanya dan ternyata banyak sekali keluhan,
kesakitan & segala luahan rasa Rohani semuanya tertera di dalam diari
tersebut. Dan Zamri dapati setiap peristiwa itu semuanya adalah perlakuan buruk
Zamri terhadap Rohani...
"Ya Allah, kenapa aku
buat isteriku begini." keluh hati kecil Zamri penuh penyesalan selepas
membaca setiap lembaran diari itu. Dan apabila tiba ke muka surat terakhir,
tiba tiba Zamri terpandang bunga ros merah yang telah kering...membuat Zakri
tertarik untuk membacanya...
Untuk suamiku yang
tersayang, Zamri.
"SELAMAT HARI ULANG
TAHUN PERKAHWINAN KITA YANG PERTAMA PADA HARI INI."Dengan air mata yang
mula bergenang Zamri memulakan bacaannya....
Assalamualaikum.
Abang...
Ingat tak bunga Ros merah
ni, Abang berikan pada Ani pada pertemuan pertama kita dulu. Sudah lama Ani
simpan bunga tu Bang...
Bunga inilah lambang kasih
sayang Ani pada Abang selama ini. Ia tidak pernah berubah pun walau telah
kering.....Ani teramat menyayangi Abang. Ani sentiasa menyimpan setiap hadiah
yang Abang berikan pada Ani. Abang tak pernah tahu kan... Itulah salah satu
buktinya betapa sayangnya Ani pada Abang..
Terlebih dahulu Ani teringin
sangat nak dengar Abang panggil Ani ? AYANG? seperti kita baru baru kahwin
dulu...Abang panggil Ani ?AYANG?...terasa diri Ani dimanja bila Abang panggil
macam tu...walaupun Ani cuma dapat merasa panggilan AYANG? itu seketika sahaja.
Abang sudah banyak berubah sekarang. Perkataan AYANG? telah hilang dan tidak
kedengaran untuk Ani lagi. Kenapa? Benci sangatkah Abang pada Ani? Ani telah
melakukan kesalahan yang menyinggung perasaan Abang ke?
Abang...
Tulisan ini khas Ani tujukan
untuk Abang. Bacalah semoga Abang tahu betapa mendalamnya kasihsayang Ani pada
Abang. Abang tentu ingatkan hari ini merupakan hari ulangtahun perkahwinan kita
yang pertama dan sebagai hadiahnya Ani berikan Abang.......Mohammad Fikri dan
Farhana.
Buat diri Ani, Ani tak
perlukan apa apa pun dari Abang cukuplah dengan kasih sayang Abang pada Ani.
Ani akan pergi mencari ketenangan dan kedamaian untuk diri Ani. Ani pergi untuk
menemuiNya. Ani reda Bang....
Harapan Ani, Abang jagalah
kedua kembar kita tu dengan baik dan jangan sekali-kali sakiti mereka. Mereka
tidak tahu apa-apa. Itulah hadiah paling berharga dari diri Ani dan mereka
adalah darah daging Abang. Janganlah seksa mereka. Abang boleh seksa Ani tapi
bukan mereka. Sayangilah mereka...
Dan yang terakhir sekali,
Ani ingin mengatakan bahawa dalam hidup ini, Ani belum pernah mengadakan apa-apa
hubungan dengan sesiapa pun melainkan Abang sahaja di hati Ani. Jiwa dan raga
Ani hanya untuk Abang seorang.
Ribuan terima kasih Ani
ucapkan kerana Abang sudi mengahwini Ani walaupun Ani cuma menumpang kasih di dalam
sebuah keluarga yang menjaga Ani dari kecil hinggalah Ani bertemu dengan Abang
dan berkahwin.
Ani harap Abang tidak akan
mensia-siakan kembar kita tu dan Ani tidak mahu mereka mengikut jejak kehidupan
Ani yang malang ini dan hanya menumpang kasih dari sebuah keluarga yang bukan
dari darah daging sendiri...tapi Ani tetap bersyukur kerana dapat mengecapi
kasih sayang sepenuhnya dari keluarga angkat Ani.
Ani harap sangat Abang akan
sentiasa memberitahu pada kembar kita yang Ani ibunya, akan sentiasa bersama
disamping mereka berdua, walaupun Ani tidak berkesempatan membelai mereka dan
cuma seketika sahaja dapat mengenyangkan mereka dengan air susu Ani.
Berjanjilah pada Ani, Bang!
dan ingatlah Fikri dan Farhana adalah darah daging abang sendiri...
Ampunkan Ani dan halalkan
segala makan minum Ani selama setahun kita hidup bersama.
Sekiranya Abang masih tidak
sudi untuk menerima kehadiran Fikri dan Farhana dalam hidup Abang, berilah
mereka pada emak Ani supaya emak dapat menjaga kembar kita itu. Tentang segala
perbelanjaannya, janganlah Abang risau kerana Ani sudah pun masukkan nama emak
dalam CPF Ani.
Biarlah emak yang menjaga
kembar kita itu, sekurang-kurang terubat juga rindu emak sekeluarga pada Ani
nanti bila memandang kembar kita. Comel anak kita kan Bang!Mohammad Fikri
mengikut raut muka Abang...sejuk kata orang dan Ani yakin mesti Farhana akan mengikut
iras raut wajah Ani...Ibunya...sejuk perut Ani mengandungkan mereka.
Inilah satu-satunya harta
peninggalan yang tidak ternilai dari Ani untuk Abang. Semoga Abang masih sudi
menyayangi dan mengingati Ani walaupun Ani sudah tiada lagi disisi Abang dan
kembar kita.
Salam sayang terakhir dari
Ani Untuk Abang dan semua.
Doakanlah Kesejahteraan Ani.
Ikhlas dari isterimu yang
malang,
Rohani
Sehabis membaca diari
tersebut, Zamri meraung menangis sekuat kuat hatinya. Dia
menyesal.......menyesal.......
"Sabarlah Zamri, Allah
maha berkuasa. Kuatkan semangat kau, kau masih ada Fikri dan Farhana."
pujuk Zul, kawan baiknya. Zamri hanya tunduk membisu.
Ya Allah...
Ani, maafkan Abang. Tubuh
Zamri menjadi longlai dan diari ditangannya terlepas, tiba-tiba sekeping gambar
di hari pernikahan antara Zamri dan Rohani terjatuh di kakinya lalu segera
Zamri mengambilnya.
Belakang gambar itu tertulis
"Saat Paling Bahagia Dalam Hidupku Dan Keluarga. Semoga Kegembiraan Dan
Kebahagiaan Ini Akan Sentiasa Menyelubungiku Hingga Keakhir Hayatku?"
Zamri terjelepuk di lantai
dengan berjuta penyesalan merangkumi seluruh tubuhnya. Dia seolah olah menjadi
seperti orang yang hilang akal. Satu demi satu setiap perlakuan buruknya
terhadap Rohani seperti terakam dalam kepala otaknya...setiap
perbuatannya...seperti wayang jelas terpampang...kenapalah sampai begini
jadinya...kejamnya aku...Ani, maafkan Abang? Maafkan Abang?. Abang menyesal?
Sewaktu jenazah Rohani tiba
di rumah suasananya amat memilukan sekali. Zamri sudah tidak berdaya lagi untuk
melihat keluarga isterinya yang begitu sedih sekali di atas pemergian anak
mereka. Bagaimanapun emak Ani kelihatan begitu tabah dan redha. Kedua dua
kembar Zamri sentiasa berada di dalam pangkuan nenek mereka.
Untuk kali terakhirnya,
Zamri melihat muka Rohani yang kelihatan begitu tenang, bersih dan Zamri terus
mengucup dahi Rohani. "Rohani, Abang minta ampun dan maaf." bisik
Zamri perlahan pada telinga Rohani sambil menangis dengan berjuta penyesalan
menimpa nimpa dirinya.
Apabila Zamri meletakkan
kembar di sisi ibunya mereka diam dari tangisan dan tangan dari bedungan
terkeluar seolah-olah mengusapi pipi ibu mereka buat kali terakhir dan terlihat
oleh Zamri ada titisan airmata bergenang di tepi mata Rohani. Airmata itu
meleleh perlahan-lahan bila kembar itu diangkat oleh Zamri.
Kembarnya menangis semula
setelah diangkat oleh Zamri dan diberikan kepada neneknya. Jenazah Rohani
dibawa ke pusara. Ramai saudara mara Rohani dan Zamri mengiringi jenazah,
termasuklah kedua kembar mereka.
Mungkin kedua kembar itu
tidak tahu apa-apa tetapi biarlah mereka mengiringi pemergian Ani, Ibu mereka
yang melahirkan mereka. Amat sedih sekali ketika itu. Zamri tidak mampu berkata
apa-apa melainkan menangisi pemergian Rohani yang selama ini hidup merana atas perbuatannya.
Dan akhirnya Jenazah Rohani
pun selamat dikebumikan. Satu persatu saudara mara meninggalkan kawasan pusara,
tinggallah Zamri keseorangan di pusara Rohani yang masih merah
tanahnya...meratapi pilu pemergian isterinya itu, berderai airmata Zamri dengan
berjuta juta penyesalan ...
Sambil menadah tangannya,
Zamri memohon pengampunan dari yang Maha Esa...
Ya Allah! Kuatkan semangat
hambamu ini . Hanya Kau sahaja yang mengetahui segala dosa aku pada
Rohani....ampunkan aku Ya Allah....
Dalam tangisan penyesalan
itu, akhirnya Zamri terlelap di sisi pusara Rohani. Sempat juga dia bermimpi,
Rohani datang menghampirinya, mencium tangan, mengucup dahi dan memeluk
tubuhnya dengan lembut mulus.
Zamri melihat Rohani tenang
dan jelas kegembiraan terpancar di muka Rohani yang putih bersih itu. Ani...,
Ani..., Ani..., nak kemana Aniiiiiii. Zamri terjaga dari lenanya.
Terngiang-ngiang suara kembarnya menangis. Emak dan keluarga mertuanya itu
datang mendekati Zamri. Mereka semua menyabarkannya.....
Semoga Allah mencucuri
rahmat ke atas Rohani......
No comments:
Post a Comment