Friday, 10 August 2012

PR SEPAKAT GUNA ‘SEBANGSA, SENEGARA, SEJIWA’




SEPAKAT....Pemimpin Pakatan Rakyat (dari kiri) Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Mustafa Ali membentangkan logo Hari Kemerdekaan yang seragam selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PR di Ibu Para pegawai PKR di Petaling Jaya.

Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

PETALING JAYA : Pakatan Rakyat (PR) hari ini sepakat untuk menggunakan tema kemerdekaan “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” selepas terdapatnya beberapa pertikaian berhubung tema  kemerdekaan di beberapa negeri mereka kerana menggunakan logo dan tema yang berlainan daripada kerajaan PR Pusat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menjelaskan, negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang yang telah mempunyai tema kemerdekaan mereka sendiri juga akan menggunakan tema PR Pusat, namun masih mengekalkan tema dan logo bagi negeri masing-masing.

“Berkaitan dengan keputusan berkenaan tema dan logo Hari Kemerdekaan, kesemua empat negeri PR akan menggunakan satu tema dan logo Pakatan Pusat,” kata Mustafa selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PR di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas Mustafa, PR bukan setakat menyambut Hari Kebangsaan, tetapi juga akan menyambut Hari Malaysia.

“Bagi 30 Ogos, sambutan kemerdekaan akan dibuat di Selangor, dan hari Malaysia pada 15 September akan disambut di Sabah, manakala 16 September di Sarawak,” tambahnya.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, juga turut menjelaskan, bagi peringkat kebangsaan, kesemua empat negeri PR akan menggunakan tema dan logo yang sama, namun mereka bebas untuk menggunakan logo dan tema peringkat negeri seperti yang telah diumumkan mereka sebelum ini.

Tema dan logo sambutan kemerdekaan ke-55 tahun ini oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menerima kritikan ekoran menggunakan tema “Janji Ditepati” yang mana menurut PR adalah sebahagian daripada kempen politik BN.

Justeru, negeri PR telah menetapkan tema dan logo mereka dan enggan menggunapakai logo Pusat dengan Kedah dan Kelantan sebelum ini menetapkan mempunyai tema masing-masing iaitu; “55 Tahun Kemerdekaan Menerajui Perubahan”, dan “Terus Berbakti.”

Sementara Selangor akan menggunakan tema daripada PR Pusat, manakala Pulau Pinang juga sebelum ini akan menggunakan temanya sendiri “Budaya Bersih Merdekakan Rakyat” sebagai tema sambutan hari ulang tahun kemerdekaan kali ini.

“Diperingkat negeri, mereka bebas menggunakan tema masing-masing,” jelasnya lagi.

Berdasarkan keputusan tersebut, isu berkenaan perkara ini menurut pemimpin PR itu telah pun selesai.

Sebelum ini, BN mula menyerang PR apabila setiap negeri yang dikuasainya menggunakan logo dan tema berbeza untuk sambutan kemerdekaan.

Mereka mengatakan ia melihatkan PR seakan tidak menunjukkan penyatuan dan kesatuan, malah ia merupakan petunjuk betapa PR gagal untuk menyeragamkan pentadbiran di bawahnya.

“Jadi tiada isu berbangkit. Perkara ini telah selesai,” kata Mustafa kepada pemberita.

No comments:

Post a Comment