Oleh : AHMAD FADLI KC
Pengarah Shuhaimi Baba
menegaskan, filem terbarunya Tanda Putera tidak pernah dibuat untuk membodek
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya, tegas Shuhaimi,
ia hanya memaparkan sejarah persahabatan dan perjuangan perdana menteri kedua
Tun Abdul Razak yang juga bapa Najib dan timbalannya Tun Dr Ismail.
"Tun Razak dan Tun Dr
Ismail adalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Kita
kena terima fakta itu walaupun mereka datangnya daripada Umno. Kalau pun mereka
datang daripada parti lain itu juga satu fakta.
"Ini bukan soal bodek,
kita ada orang lain yang kita boleh bodek kalau kita mahu," kata Shuhaimi
pada sidang media di Petaling Jaya petang tadi.
Penerbit eksekutif filem
itu, Aida Fitri Buyong memberitahu bahawa wakil keluarga terdekat kedua-dua
tokoh itu ada dirujuk sewaktu filem itu disiapkan.
"Filem ini memang ada
konsultan untuk dua pihak keluarga iaitu Tun Dr Ismail dan Tun Razak,"
kata Aida.
Beliau bagaimana pun menolak
tanggapan bahawa ia diterbit dan ditayangkan hampir dengan pilihan raya untuk membantu
kempen dan propaganda pemerintah.
Katanya, mereka telah
mendekati Perbadanan Filem Nasional (Finas) selama hampir dua tahun untuk
mendapatkan dana.
Jika filem itu berjaya
disiapkan lebih awal dan ditayangkan pada tahun lepas pastinya tidak akan wujud
tuduhan sedemikian rupa, kata Aida.
"Kami buat filem dan
kami bukannya organ propaganda yang dituduh-tuduh itu," tambah
pengarahnya, Shuhaimi Baba.
Kedua-dua mereka juga tidak
menolak untuk menerbitkan filem sejarah jika didekati mana-mana pihak termasuk
Pakatan Rakyat sekalipun.
"Kalau ceritanya bagus
kenapa tidak, kita ada terima bermacam-macam cerita dan kita perlu
pilihlah," kata Shuhaimi dan dipersetujui Aida.
Mengulas permintaan Pakatan
Rakyat agar filem itu ditayang kepada mereka untuk penilaian semula, Aida
menjelaskan majlis pra-tonton tidak dapat dilakukan untuk semua pihak kerana
kosnya yang tinggi.
Namun beliau tidak keberatan
untuk mengadakan tayangan peribadi jika Pakatan Rakyat, mahupun pihak-pihak
lain seperti kolej, universiti atau organisasi swasta bersedia menampung kos
tersebut.
No comments:
Post a Comment