KECOH....Sesi
soal jawab agak tegang apabila Dr Teo (kanan) tidak berpuas hati dengan
kenyataan Abdul Karim (dua kiri).
Oleh : SANDY MARK LUNA.
KUCHING: Parti politik di
Sarawak diseru untuk berhubung secara terus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung daftar pemilih.
Menurut Pengerusi SPR Tan
Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, tindakan menggunakan pihak ketiga atau media untuk
mengemukakan sesuatu isu atau pertanyaan seolah-olah mempersoal dan
memperlekehkan integriti SPR.
“Saya benar-benar berharap
agar parti politik di Sarawak berhubung terus dengan SPR jika mempunyai
sebarang keraguan, dan kita akan cuba jelaskan atau jika anda mempunyai fakta
atau bukti jelas berhubung sesuatu perkara, kita boleh siasat dengan agensi
lain.
“Bukan bermaksud SPR tidak
sanggup terima kritikan, tetapi kena berlaku adil kerana sama ada ia dilakukan
sengaja atau tidak sengaja, ia menampakkan integriti SPR dipersoalkan,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada
perjumpaan bersama parti politik dan media bagi memberi taklimat peraturan-peraturan
baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang di sini, semalam.
Sesi soal jawab selepas sesi
taklimat semalam sedikit kecoh setelah Menteri Muda Perumahan Abdul Karim
Rahman Hamzah menegur seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpotensi, Dr
Michael Teo yang mempersoalkan integriti dan kejujuran SPR dalam membawa kotak
undi di kawasan pedalaman.
Daftar pemilih SPR setakat 7
Jun menyaksikan Sarawak berada di tangga keempat pengundi teramai dengan jumlah
pemilih seramai 1,051,190. Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 300,000
penduduk belum mendaftar.
Abdul Aziz berkata, mengikut
kajian yang dijalankan di Semenanjung Malaysia, sebahagian besar penduduk tidak
berdaftar adalah dari kawasan bandar tetapi beliau percaya situasi tersebut
berbeza di Sarawak.
Menurutnya, antara
penyumbang kepada jumlah penduduk tidak berdaftar ialah sikap endah tidak endah
serta memandang ringan tanggungjawab tersebut.
Katanya, SPR telah meminta
kerjasama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan termasuk parti politik
untuk membantu mendaftar pemilih, khasnya penduduk di kawa-san pedalaman.
“Masalahnya, mereka tidak
mahu mendaftar, walaupun kita pergi ke kawasan kampung untuk membantu mereka,”
katanya.
Sementara itu, menurutnya,
SPR tidak akan berkompromi dengan mana-mana calon atau parti yang gagal
mempamerkan nama dan alamat pencetak.
Beliau memberitahu, sesiapa
yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk tindakan
mahkamah yang merangkumi denda atau penjara, seperti yang termaktub dalam Sub
Seksyen 11(1)(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Beliau turut mengaskan SPR
berhak menurunkan sesebuah bahan kempen yang digantung.
“Kita tidak pilihan lain
melainkan lebih tegas memandangkan ramai wakil rakyat membantah cadangan
meminda peraturan tersebut,” katanya.
Antara barang kempen ialah
risalah, brosur, bendera, panji-panji, sepanduk/kain rentang, poster, surat
sebaran, papan iklan sementara, lencana, label dan lain-lain.
Abdul Aziz menjelaskan, SPR
pernah mencadang untuk meminda peraturan tersebut memandangkan ia sukar untuk
dikuatkuasakan tetapi ketika dibincangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ia
menerima bantahan.
Jelasnya, salah satu punca
menyukarkan ia dikuat kuasa kerana bahan tersebut mungkin dicetak di luar
negara.
Bagaimanapun, dengan adanya
maklumat pencetak disertakan sekali pada bahan kempen, katanya, ia akan
memudahkan proses pemeriksaan sekiranya disyaki melibatkan unsur rasuah.
“Ia akan memudahkan SPR atau
pihak polis memeriksa dengan pencetak siapa yang bayar bil dan sebagainya,”
katanya.
Dalam perkembangan
berkaitan, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR
akan melantik sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak sebagai
pemerhati tempatan pada PRU13 bagi menggantikan Badan Bebas Pemantau Pilihan
Raya Malaysia (MAFREL).
Wan Ahmad menjelaskan, NGO
tersebut iaitu tiga di Kuching, dua di Sibu dan empat di Miri, akan menempatkan
dua wakil di setiap 31 buah kerusi Parlimen seluruh negeri.
“SPR akan melantik sembilan
NGO tempatan mewakili semua kaum di Sarawak untuk menjadi pemerhati bebas dan
berkecuali pada PRU-13. Mereka hendaklah neutral dan tidak boleh terlibat dalam
kempen,” katanya.
Abdul Aziz menambah, MAFREL
tidak lagi dipilih sebagai pemerhati berdasarkan rekod buruk pada bebarapa
pilihan raya lepas.
“Pilihan raya yang lepas,
SPR mempunyai pengalaman pahit dengan mereka kerana telah banyak melanggar
syarat antaranya membuat kenyataan ke sana ke sini, tidak menyiapkan laporan
dan berat sebelah. Pemerhati SPR hendaklah neutral dan tidak berpihak kepada
sesiapa,” katanya. (UB)
No comments:
Post a Comment