BEBERAPA tokoh ulama dari
Arab Saudi hari ini menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya
meletakkan Islam sebagai teras kepada kemajuan.
Tokoh ulama terkenal di Arab
Saudi iaitu Sheikh Dr Abdullah Hamad Jalaly, Mufti Masjidil Haram Makkah Sheikh
Dr Sulaiman Al Salumi dan Ketua Hakim Mahkamah Makkah Dr Saleh Darwish
menyatakan pandangan mereka itu dalam satu perjumpaan dengan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.
Ketiga-tiga tokoh agama
bersama dua lagi pemimpin Islam terkenal iaitu Penasihat Wasir TV Channel
Sheikh Dr Abdul Rahim Mulazadah dan Pengerusi Al Maijd TV Dr Hammad Mohamad Al
Ghammas mengunjungi Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia pada
Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di
kota suci Makkah mulai kelmarin.
Najib memberitahu wartawan
Malaysia di Makkah, ketiga-tiga ulama Arab Saudi itu memuji kerajaan Malaysia
kerana berjaya mengukuhkan kedaulatan Islamiah apabila meletakkan Islam sebagai
agama persekutuan walaupun rakyatnya berbilang kaum dan agama.
Katanya, para ulama Arab
Saudi juga kagum dengan kepimpinan kerajaan Malaysia yang memupuk hubungan baik
antara ulama dan umarak dan mahukan negara Islam lain menjadikan Malaysia
sebagai model negara Islam yang maju.
"Kita juga memaklumkan
mengenai konsep Wasatiyah yang kita pegang dari dulu dan di peringkat negeri
pula kita mempunyai enakmen yang menyebut pegangan kita ialah Ahli Sunnah Wal
Jamaah bagi mengelakkan berlaku sebarang konflik dan kerosakan akidah dan
sebagainya," katanya.
Ulama itu berpendapat
pendekatan kerajaan terhadap kepimpinan yang berteraskan Islam itu telah
mengelakkan Malaysia daripada menghadapi sebarang konflik seperti negara majmuk
yang lain. (Bernama)
No comments:
Post a Comment